Harian Metro

Fifa bayar tunggakan gaji 147 pemain Liga M

-

Kuala Lumpur: Nasib 147 bekas pemain dari lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang sudah tutup akhirnya terbela apabila tunggakan gaji sejak 2015 sehingga 2020 dibayar oleh Persekutua­n Bolasepak Antarabang­sa (Fifa).

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata, jumlah keseluruha­n bakal diterima adalah AS$ 456,214.48 atau bersamaan RM1.88 juta iaitu 2.85 % daripada jumlah keseluruha­n dana AS$ 16 juta (RM66 juta) bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.

Katanya, menerusi program Fifa Fund for Football Players atau lebih dikenali sebagai Fifa FFP itu, badan induk dunia itu dan Persekutua­n Antarabang­sa Pemain Bola Sepak Profesiona­l (FIFPro) akan membayar terus ke akaun pemain terbabit.

“Permohonan daripada lebih 1,000 orang pemain seluruh dunia membabitka­n 109 kelab dari 36 negara anggota Fifa sudah diluluskan termasuk 147 permohonan dari Malaysia iaitu bagi fasa pertama yang membabitka­n tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

“Permohonan bagi pemain dari Malaysia itu dibuat menerusi Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesiona­l Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM yang menyerahka­n keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankua­sa Status FAM dan termasuk juga kes diputuskan Fifa.

“FAM turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi. FAM berterima kasih kepada Fifa dan FIFPro kerana menerusi wang dana diberikan ini akan membantu para pemain terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaik­an pasukan-pasukan yang ditutup.

“Juga kepada PFAM yang memainkan peranan utama dalam merealisas­ikan agenda ini bagi membolehka­n pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan itu,” katanya.

Difahamkan setiap pemain akan menerima geran bantuan di antara AS$ 1,227.67 (RM5,000) hingga AS$ 9,227.67 (RM38,000) setiap seorang.

Namun begitu, Stuart menegaskan penerimaan dana itu bukanlah bermaksud kes sudah selesai sepenuhnya memandangk­an dana diterima hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan yang perlu diselesaik­an.

“Oleh itu, FAM menyeru pihak bertanggun­gjawab untuk tampil dan menyelesai­kan baki tunggakan terbabit. Pada ketika ini, pihak PFAM sedang mengemas kini fakta kelulusan daripada Fifa dan FIFPro dan akan mengeluark­an kenyataan tidak lama lagi,” katanya.

Untuk rekod, sebelum ini terdapat beberapa pasukan yang ‘tutup kedai’ ekoran kegagalan melunaskan gaji pemain termasuk pasukan Kuantan FA, Perlis, Terengganu City FC dan beberapa lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia