Harian Metro

Exco Kelantan sedia beri keterangan isu AKSB

-

Kota Bharu: Kerajaan negeri sedia dipanggil Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) membabitka­n projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semua Exco sedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan.

“Setakat ini, SPRM tidak memaklumka­n apa-apa dan kita tidak mahu mengganggu siasatan mereka. Serah kepada SPRM untuk membuat siasatan lanjut.

“Malah, sehingga kini tidak ada Exco dipanggil dan kita difahamkan masalah berlaku membabitka­n isu di peringkat pengurusan.

“Jika mana-mana Exco dipanggil, kita tiada masalah dan bersedia memberi kerjasama penuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor, di sini, semalam, yang disampaika­n Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Mohd Amar turut mengakui isu berkenaan memberi imej buruk kepada kerajaan negeri Kelantan.

“Memang betul apa yang berlaku beri imej buruk kepada kerajaan negeri kerana selama ini kita kata kita bersih daripada rasuah, namun sebaliknya berlaku.

“Bagaimanap­un kes berkenaan masih dalam siasatan dan sekiranya benar berlaku kes berkenaan, SPRM boleh membawa kes itu ke mahkamah. Kita ikut proses undang-undang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan tiga lelaki termasuk seorang bekas pengurus besar AKSB bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang membabitka­n projek bernilai lebih RM27 juta antara 2015 dan 2019.

Dua lagi yang ditahan bersama bekas pengurus berumur 60 tahun itu adalah seorang pegawai AKSB berusia 39 tahun dan seorang pengurus projek sebuah syarikat berusia 43 tahun.

Belum ada Exco Kerajaan Kelantan dipanggil bantu siasatan SPRM

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia