Harian Metro

Khaty ok aje, cuma kasihan keluarga

-

Kuala Lumpur:

Penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim mengakui sudah ‘masak’ dengan berita yang mendakwa dirinya sudah meninggal dunia seperti yang dilaporkan sebuah portal, kelmarin.

Khadijah atau mesra disapa ibu Khaty berkata, dia tidak berkecil hati dengan berita sebegitu namun kasihan terhadap ahli keluargany­a yang terkejut dan tidak henti-henti menghubung­inya sejak pagi semalam.

Individu yang sebenarnya meninggal dunia petang semalam ialah balu kepada bekas Presiden Pas, Allahyarha­m Datuk Fadzil Noor iaitu Datin Khatijah Ibrahim yang kebetulan memiliki nama sama.

“Alhamdulil­lah. Saya sihat dan baik-baik saja. Perkara sebegini sudah biasa terjadi sebab kadang-kadang sesetengah orang tak fikir mengenai perasaan kita dan menulisnya tanpa usul periksa.

“Saya tak berkecil hati pun cuma saya kasihan dengan ahli keluarga terutama di Singapura yang tidak henti menghubung­i saya pagi tadi (semalam).

“Ada yang menangis-nangis menelefon saya selain terkejut kerana mereka baru bercakap dengan saya malam semalam (kelmarin),” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurut Khadijah, dia enggan mengambil pusing dengan berita tidak benar itu sebaliknya bersyukur apabila ramai pihak mengambil berat dengan dirinya.

“Saya pun tak faham apa yang mereka rasa ketika menulis berita sebegini. Namun, saya bersyukur dikeliling­i keluarga dan peminat yang sentiasa mengambil berat dan saling menyayangi.

“Alhamdulil­lah saya juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan kesihatan yang baik. Tiada apa yang perlu dibimbangk­an,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah artikel yang memaklumka­n bahawa Khadijah meninggal dunia jam 4.30 petang kelmarin di Wad Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur akibat komplikasi buah pinggang.

 ?? ?? KHADIJAH
KHADIJAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia