Harian Metro

BAKTI 35 TAHUN JAGA KETENTERAM­AN

Wanita pertama jadi Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur mahu masyarakat henti pandang wanita sebagai individu lemah

-

Wanita besi yang sudah bertugas kira-kira 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Yong Lei Choo bakal menamatkan perkhidmat­annya apabila bersara wajib pada

26 Oktober ini.

Sepanjang 35 tahun berkhidmat, beliau ditugaskan di Bahagian Cawangan Khas PDRM selama 29 tahun sebelum dilantik menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Pelantikan pada 1 November 2019 itu turut melakar sejarah apabila beliau wanita pertama yang menjawat jawatan berkenaan.

Ikuti wawancara bersama

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur DATUK YONG LEI CHOO oleh wartawan NURUL HIDAYAH BAHAUDIN dan

jurugambar AIZUDDIN SAAD berkaitan pengalaman beliau dalam PDRM.

Selepas 35 tahun berkhidmat, bagaimana Datuk melihat peranan wanita dalam PDRM?

Saya dapati lebih ramai pegawai kanan polis wanita diberi amanah menjawat jawatan penting dalam pasukan seperti Datuk Robiah Abdul Ghani (kini bersara) yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Pengurusan.

Ini memperliha­tkan PDRM turut mengetenga­hkan pegawai kanan wanita di peringkat pembuat dasar.

Namun begitu, wanita tidak sepatutnya mengambil ringan perkara ini hanya kerana mengharapk­an kenaikan pangkat berdasarka­n kuota dan mencipta alasan apabila diberi amanah serta tanggungja­wab.

Sebaliknya, sebagai pegawai kanan wanita, kita perlu mempamerka­n sikap daya saing yang tinggi untuk membuktika­n kita memiliki potensi besar untuk berjaya.

Limitasi wanita kerap dijadikan alasan untuk tidak membenarka­n golongan ini melakukan perkara atau tugasan lebih besar. Pendapat Datuk dalam ruang lingkup PDRM.

Acap kali, kita mendengar mengenai tanggapan bahawa wanita tidak berupaya menyaingi kekuatan, ketangkasa­n dan sifat lasak lelaki yang memonopoli pasukan.

Tanggapan ini mesti dikikis kerana pegawai kanan wanita pada masa kini adalah antara barisan hadapan negara yang menggalas tanggungja­wab penting.

Pegawai kanan wanita tidak seharusnya terbatas di dalam bidang pengurusan sahaja sebaliknya diberi peluang untuk menonjolka­n diri dalam tugas kepolisan yang lebih mencabar serta memerlukan daya pemikiran kritis.

Wanita tidak patut dilihat sebagai individu lemah namun sikap empati yang tinggi dalam diri wanita berbanding lelaki perlu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk memberikan perkhidmat­an kepada masyarakat.

Selaku Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, bagaimana Datuk melihat cabaran PDRM dalam mengekang atau membantera­s jenayah di ibu kota?

Walaupun statistik jenayah indeks Kuala Lumpur menunjukka­n trend menurun, persepsi masyarakat terhadap perlakuan jenayah masih tinggi.

Fear of crime sentiasa menghantui warga ibu kota khususnya membabitka­n jenayah seperti samun berkawan, pecah rumah dan curi.

Susulan itu, IPK Kuala

Lumpur merancang, melaksanak­an dan memantau program pencegahan jenayah secara menyeluruh termasuk mengesyork­an tujuh cadangan penambahba­ikan melalui KL Safe City Initiative yang mendapat sokongan daripada Menteri Wilayah Persekutua­n dan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Kajian pada 31 Ogos 2019 menunjukka­n Kuala Lumpur menduduki tangga ke-35 berbanding ke-60 pada tahun sebelumnya sebagai bandar raya selamat di dunia.

Rancangan Datuk selepas bersara?

Buat masa ini, saya tiada perancanga­n khusus untuk dilakukan.

Namun, saya ada fikir perkara yang boleh dilakukan seperti melakukan khidmat dalam komuniti.

Ada banyak perkara boleh saya lakukan yang tidak berunsurka­n kewangan. Malah, ada pihak yang menawarkan saya menjadi tenaga pengajar. Buat masa ini, saya masih berfikir untuk menerima tawaran berkenaan. Apa yang lebih penting adalah saya gembira apabila bersara dalam keadaan masih sihat, sekali gus dapat terus menyumbang kepada masyarakat.

Hobi Datuk pada masa lapang bagi mengurangk­an tekanan beban kerja?

Saya sama sekali tidak pernah menganggap tanggungja­wab tugasan yang dipikul sebagai satu tekanan dan beban kerana amat menyukai kerja ini.

Saya sering mengingatk­an diri sendiri supaya menguatkan kecerdasan mental supaya boleh menahan tekanan serta bebanan kerja dalam apa jua situasi. Setiap tugasan yang diberikan, saya anggap sebagai cabaran. Bagi saya, itu adalah kualiti yang perlu ada sebagai pegawai polis memandangk­an kita perlu berhadapan pelbagai perkara.

Dalam setiap hari bekerja, kita akan belajar perkara baharu. Adalah penting bagi kita untuk menyesuaik­an diri dengan keadaan itu.

Pesan Datuk kepada anggota dan pegawai PDRM generasi baharu khasnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Pesan saya, belajar perkara baharu. Sentiasa sematkan di fikiran supaya komited dengan tugas.

Waktu kecil, kita lihat imej polis sebagai wira menahan penjahat. Kini, imej polis mungkin tidak dilihat begitu oleh masyarakat.

Justeru, apa yang penting adalah fokus kepada kaedah penyampaia­n perkhidmat­an kita kepada masyarakat dan bersama kerajaan merealisas­ikan wawasan dan dasar yang mahu dilaksanak­an.

Setiap pegawai dan anggota polis perlu sentiasa bersemanga­t dalam melakukan tugas serta memberikan komitmen sepenuhnya pada tugasan.

Marilah kita bersama-sama membantu membina imej pasukan supaya dihormati masyarakat dengan memberikan khidmat terbaik buat mereka.

“Sentiasa sematkan di fikiran supaya komited dengan tugas

Yong

 ?? ?? YONG beramah mesra dengan penduduk setempat pada program Amanita High Profile Policing di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, baru-baru ini.
YONG beramah mesra dengan penduduk setempat pada program Amanita High Profile Policing di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Kepong, baru-baru ini.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia