Harian Metro

Impian miliki rumah sendiri tercapai

-

Kota Marudu: “Sudah 18 tahun kami sekeluarga menanti memiliki rumah sendiri.

“Saya bersyukur akhirnya hasrat itu tercapai dengan bantuan Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar (KPLB) dan Giatmara,” kata penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bina baharu, Masri Bakri, 45.

Menyara kehidupan keluarga menerusi aktiviti menangkap ikan, Masri berkata dia dan keluarga sebelum ini menetap di rumah ibu bapa terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata berusia antara tujuh sehingga 18 tahun itu, dia berkata rumah baharu berkenaan mengambil masa dua bulan untuk dibina sebelum siap sepenuhnya pada pertengaha­n April tahun ini.

“Walaupun pendapatan saya terganggu disebabkan pandemik Covid-19 namun tidak menyangka tahun ini kami dapat menyambut Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha di rumah sendiri.

“Anak juga seronok kerana dapat tinggal dan belajar dalam keadaan lebih selesa selain memiliki bilik masing-masing.

“Oleh itu, saya bersama isteri dan anak-anak mahu mencantikk­an lagi rumah kami ini agar lebih kelihatan ceria,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Batu.

Seorang lagi penerima rumah PPRT bina baharu di kampung sama, Ramlon Maidin, 51, berkata rumah PPRT diberikan kerajaan itu adalah suatu bantuan yang cukup bermakna buat dirinya dan keluarga.

“Rumah lama kami boleh dikatakan seperti pondok dan memang kurang selesa khususnya buat anak-anak belajar.

“Malahan, dalaman rumah kami pasti akan basah setiap kali hujan lebat dan angin kencang.

“Dengan adanya bantuan rumah PPRT ini, ia mengubah kehidupan kami menjadi lebih selesa,” kata bapa kepada lima cahaya mata berumur antara empat sehingga 15 tahun berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pembanguna­n Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebanyak RM83.2 juta diperuntuk­kan bagi pelaksanaa­n bantuan PPRT termasukla­h baik pulih dan bina baharu untuk negeri Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan sepanjang tahun 2021.

 ?? ?? MAHDZIR mendengar penerangan ketika meninjau tapak pembinaan Loji Rawatan Air Kedua Pitas, baru-baru ini.
MAHDZIR mendengar penerangan ketika meninjau tapak pembinaan Loji Rawatan Air Kedua Pitas, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia