Harian Metro

TAK SUDI KONGSI ‘HIDUP’ DENGAN 43K PEKERJA

Penduduk, NGO terus bantah pembinaan asrama pekerja warga asing di tiga lokasi

- Oleh Zuhainy Zulkiffli am@hmetro.com.my

Pembinaan asrama untuk menempatka­n lebih 43,000 pekerja warga asing di tiga lokasi di sini, bukan sahaja mendapat bantahan penduduk, malah wakil rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketiga-tiga asrama itu dijangka menempatka­n pekerja warga asing yang diperlukan bagi sektor perkilanga­n di negeri ini.

Pembinaan itu kelak dikhuatiri mendatangk­an pelbagai masalah sosial, kesihatan, bencana banjir, kesesakan lalu lintas, ekonomi setempat termasuk menggugat keselesaan daya huni seperti yang digagaskan dalam PENANG 2030.

Mengikut cadangan, asrama pekerja warga asing itu dirancang dibina di Lot 1435 dan 1437 di Bagan Teluk Kumbar bagi penempatan 25,000 pekerja; Lot 1859, 1860 dan 1865 Tingkat Teluk Kumbar (8,700 pekerja) serta Lot 236 dan 284 Mukim 11 Bukit Belah, Sungai Batu (9,700 pekerja).

Penduduk Kampung Matahari Naik, Baharudin Mat Isa, 64, berkata, pembinaan asrama itu kelak lebih mendatangk­an keburukan daripada kebaikan terutama daripada segi sosial dan keselamata­n.

Kata bekas anggota tentera laut itu, kawasan sekitar Bayan Lepas akan menjadi lebih sesak dengan warga asing yang dikhuatiri menggugat keharmonia­n warga tempatan.

“Bayangkan tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, bagaimana keadaan keluarga kita dan penduduk di sini.

“Bukan sahaja perlu berkongsi ‘kampung’ malah kita juga perlu berkongsi kemudahan dan fasiliti yang sama dengan mereka,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.

Pemilik bengkel membaiki kenderaan, Faizul Firdaus, 38, berkata, sudah tentu pada masa depan, perniagaan di lokasi berkenaan juga akan dipelopori selain ada kemungkina­n dikuasai warga asing.

“Ia berikutan pembinaan itu seolah-olah ‘menjemput’ warga asing yang lain bagi tinggal sama di penempatan itu.

“Peluang pekerjaan atau perniagaan yang boleh diusahakan warga tempatan kelak akan diambil alih oleh mereka.

“Memang ia andaian sahaja, tetapi bagaimana jika ia benar-benar berlaku? Lagipun, banyak perumahan di sini yang sudah menjadi penempatan warga asing dan kita sudah lihat keadaannya,” katanya yang tinggal di Sungai Batu di sini.

Sebagai generasi muda, Mujib Mohd Puzi, 26, dari Taman Perda berkata, sekiranya asrama berkenaan didirikan, sudah tentu berlaku pertembung­an budaya dalam kalangan warga asing dan masyarakat setempat.

Katanya, terdapat perbezaan budaya yang ketara dibawa dari negara asing termasuk membabitka­n sensitivit­i agama.

“Sukar hendak bayangkan kesesakan yang berlaku di kawasan ini kelak, lihat sa- haja jalan raya kini sudah sesak akan ditambah (kesesakan) pada masa akan datang.

“Kami cadangkan ia dibina di kawasan perindustr­ian Batu Kawan yang lebih luas, sekali gus dapat mengurangk­an impak kesesakan warga asing dan kenderaan,” katanya.

Bayangkan tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, bagaimana keadaan keluarga kita dan penduduk di sini”

Baharudin Mat Isa

Ia berikutan pembinaan itu seolah-olah ‘menjemput’ warga asing yang lain bagi tinggal sama di penempatan itu”

Faizul Firdaus

 ?? ?? AZRUL Mahathir (kanan) melawat lokasi pembinaan asrama bagi menempatka­n lebih 43,000 pekerja warga asing di Bayan Lepas.
AZRUL Mahathir (kanan) melawat lokasi pembinaan asrama bagi menempatka­n lebih 43,000 pekerja warga asing di Bayan Lepas.
 ?? ?? CHOW (kanan) menerima memorandum bantahan pembinaan asrama pekerja warga asing yang diserahkan Azrul Mahathir di Komtar.
CHOW (kanan) menerima memorandum bantahan pembinaan asrama pekerja warga asing yang diserahkan Azrul Mahathir di Komtar.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia