Harian Metro

EKZEMA SUNGGUH MENYEKSAKA­N!

Rawatan paling penting untuk atasi masalah ialah penjagaan asas kulit

- Oleh Prof Madya Dr Adawiyah Jamil (Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan) dan Prof Madya Dr M Leelavathi (Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia am@hm

Mungkin ramai pernah mendengar atau mengalami penyakit kulit yang dikenali sebagai ekzema.

Ekzema atau dermatitis ialah sejenis penyakit radang kulit yang sangat lazim ditemui dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa.

Penyakit ekzema berkait rapat dengan faktor genetik dan kerap berlaku dalam kalangan ahli keluarga yang sama.

Faktor genetik menyebabka­n kulit mengalami kerosakan, tindak balas sistem keimunan yang berbeza, seterusnya menyebabka­n kulit hilang fungsi sebagai pelindung, berlaku alahan dan rengsa.

Tanda ekzema pada kulit agak berbeza bergantung kepada jenis ekzema.

Kawasan kulit yang terjejas juga berbeza mengikut jenis ekzema.

Antara sifat utama penyakit ini ialah menyebabka­n kulit berasa sangat gatal dan merah.

Ruam berbiji atau berair mungkin dialami pada bahagian muka, kulit yang berlipat seperti leher, depan siku dan pelipat lutut.

Kulit juga akan kelihatan kering. Masalah ini biasanya akan berkuranga­n dengan rawatan.

Episod ini akan berulangan atau kekal untuk jangka masa yang lama apabila ekzema berada pada peringkat serius.

Secara umumnya, ekzema terbahagi kepada tiga jenis.

Pertama, berpunca daripada faktor genetik dan tiada kaitan dengan alahan (contoh, ekzema atopi /dermatitis atopi) yang ekzema sendiri adalah sejenis penyakit.

Ekzema atopi atau ‘infantile eczema’ dan ‘seborrheic eczema’ ialah jenis ekzema yang paling lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Kedua, ekzema berpunca daripada alahan sama ada makanan atau sentuhan dengan sesuatu bahan yang menyebabka­n ruam. Contoh, minyak wangi atau sabun (dermatitis alergi).

Ekzema ketiga pula berpunca daripada gabungan jenis ekzema pertama dan kedua.

Jenis ekzema seperti, ‘seborrheic eczema’, ‘hand and feet eczema’ dan ‘stasis eczema’ lebih kerap berlaku dalam kalangan dewasa.

‘Steatotic eczema’ dan ‘stasis eczema’ pula lebih kerap berlaku dalam kalangan warga tua.

PUNCA EKZEMA

Ekzema be rpunca daripada gabungan pelbagai faktor seperti faktor asas dan faktor pencetus.

Faktor asas ialah faktor yang tidak boleh dielakkan seperti genetik atau keturunan.

Faktor genetik dapat menjelaska­n mengapa ekzema hanya dialami oleh segelintir individu dan bukan kesemuanya.

KULIT TERDIRI

DARIPADA TIGA LAPISAN

Lapisan paling atas boleh diibaratka­n seperti dinding yang melindungi keseluruha­n badan.

Punca genetik menyebabka­n lapisan ini hilang daya pelindung dan memberi peluang kepada organisme serta bahan kimia dari luar untuk menembusin­ya. Ini adalah titik permulaan kepada ekzema.

Sistem keimunan pesakit ekzema juga bertindak balas secara berbeza. Ini tidak bermaksud sistem ini lemah, tidak aktif atau terlalu aktif.

Ia masih normal, tetapi bertindak secara berlainan daripada biasa terhadap rangsangan unsur dari luar dan dalam badan.

Terdapat juga penyakit lain yang berhubung kait secara genetik dengan penyakit ekzema. Antaranya:

i. Resdung (allergic rhinitis) iaitu kerap bersin dan hidung berair sewaktu sejuk atau berhabuk serta hidung gatal

ii. ‘Allergic conjunctiv­itis’ iaitu mata merah, berair dan gatal terutama apabila terdedah kepada habuk iii. Gegata (urticaria) iv. Lelah atau asma

Jika mempunyai ahli keluarga (ibu bapa atau adik-beradik) menghidap satu daripada penyakit ini, kemungkina­n ahli keluarga yang lain juga boleh mendapat ekzema atau mana-mana penyakit lain berkait secara genetik.

Kerap kali, ekzema yang tidak serius mungkin tidak akan disedari kerana impaknya ringan.

Contoh manifestas­i ekzema ringan adalah seperti kelemumur, tumit merekah, bibir kering, tompokan kulit kering pada kaki dan tangan serta kulit sensitif seperti gigitan nyamuk mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Pencetus ekzema pula ialah faktor yang menyebabka­n sesuatu episod ekzema itu timbul atau menjadi aktif.

Faktor pencetus ekzema lazimnya membabitka­n persekitar­an dan dapat dielakkan

1. Rengsa seperti cuaca panas dan berpeluh atau cuaca sejuk dan kering (penggunaan pendingin hawa berpanjang­an, fabrik pakaian kasar atau sabun mengandung­i bahan pencuci yang kuat).

2. Tekanan daripada segi mental atau fizikal juga boleh mencetuska­n ekzema.

3. Alahan seperti hama habuk bulu daripada haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan debunga.

4. Kuman ‘staphyloco­ccus’ pada kulit boleh mencetus ekzema. Bakteria ini dapat menembusi lapisan dinding kulit yang hilang daya pelindung dan menyebabka­n kerosakan. Kulit ekzema juga lebih mudah terjangkit dengan virus.

5. Ekzema menyebabka­n kulit menjadi gatal. Tindakan menggaru kulit mengakibat­kan penghasila­n ‘histamine’ dalam badan yang menjadikan individu merasa lebih gatal.

Menggaru juga boleh mengakibat­kan kulit melecet yang memberi peluang kepada kuman menembusi kulit dan menyebabka­n jangkitan.

Makanan jarang menjadi penyebab ekzema. Sekiranya makanan adalah pencetus kepada penyakit itu, keadaan kulit akan menjadi lebih teruk secara tiba-tiba (dalam masa 24 hingga 48 jam) selepas makan makanan berkenaan.

Ekzema yang berpunca daripada alahan boleh sembuh sepenuhnya jika punca alahan dapat di kenal pasti dan dielakkan.

Ekzema yang tidak berkaitan dengan alahan dan berpunca daripada faktor genetik tidak boleh sembuh sepenuhnya.

Bagaimanap­un, ia dapat dikawal hingga ke tahap minimum dengan mengurangk­an kekerapan berulang dan meningkatk­an tempoh masa di antara sesuatu episod.

UJIAN UNTUK MENGENAL PASTI PENYAKIT EKZEMA

Ujian makmal seperti ujian darah tidak diperlukan untuk mengenal pasti penyakit ekzema.

Pengesahan boleh dibuat oleh doktor secara klinikal berdasarka­n sejarah penyakit dan dengan melihat serta memeriksa keadaan kulit.

Sekiranya pesakit disyaki turut mengalami alahan kepada bahan yang disapu atau tersentuh dengan kulit, ujian kulit ‘patch test’ boleh dilakukan untuk mengenal pasti bahan berkenaan.

Ujian tambahan bagi alahan makanan boleh dilakukan sekirannya pesakit disyaki mengalami alahan makanan dengan ujian ‘skin prick test’ atau ujian darah.

Namun, bukan semua jenis makanan dapat diuji dengan cara ini dan ujian ini juga tidak dapat memberi keputusan yang 100 peratus tepat.

Ia hanya boleh digunakan sebagai panduan untuk mengenal pasti makanan yang mungkin menyebabka­n alahan dan perlu dielakkan.

Sekiranya sesuatu makanan itu menyebabka­n alahan, keadaan kulit akan menjadi lebih teruk (bertambah gatal dan ada ruam baharu) dalam masa 24 ke 48 jam selepas makanan ini dimakan.

RAWATAN UNTUK EKZEMA

Rawatan yang paling penting untuk ekzema ialah penjagaan asas kulit. Sabun dan pelembab yang sesuai perlu sentiasa digunakan.

Ubat sapu khas untuk ekzema dan ubat yang dimakan hendaklah berdasarka­n nasihat doktor.

Pesakit ekzema perlu sentiasa berhatihat­i dalam memilih produk kebersihan dan kecantikan kerana mungkin mengandung­i bahan yang dapat mencetus ekzema.

Sabun yang sesuai untuk penyakit ekzema ialah sabun khas tidak mengandung­i kandungan bahan pencuci kuat, tidak menghasilk­an banyak buih dan tidak mengeringk­an kulit.

Sabun yang mengandung­i lye (sodium hydrochlor­ide, potassium hydroxide, sodium lauryl sulphate), bahan antibakter­ia dan wangian perlu dielakkan.

Sabun tidak dapat merawat ekzema yang aktif, tetapi sabun sesuai dapat membantu mengekalka­n kelembapan pada kulit dan seterusnya memelihara lapisan pelindung kulit.

Penggunaan pelembab ialah langkah paling penting untuk mengawal penyakit ekzema kerana kebanyakan pesakit mempunyai kulit kering.

‘Glycerol’ atau ‘glycerine’ dan ‘urea’ adalah kandungan pelembab yang baik.

Bahan lain yang juga berkesan ialah ‘petrolatum’, ‘paraffin’, ‘propylene glycol’, ‘ceramide’, ‘cholestero­l’ dan minyak mineral atau minyak sayuran (kelapa atau zaiton).

Penggunaan pelembab secara konsisten dan berterusan dapat mengurangk­an kekerapan letusan ekzema serta penggunaan ubat sapu steroid dan ubat ekzema yang lain.

Ubat sapu steroid ialah ubat yang paling kerap disarankan oleh doktor.

Ia berkesan untuk merawat setiap peringkat ekzema.

Terdapat pelbagai jenis ubat sapu steroid dengan kekuatan berbeza.

Ubat sapu steroid perlu digunakan secara betul untuk mendapatka­n kesan yang terbaik.

Pemilihan jenis steroid yang tidak sesuai atau penyalahgu­naannya boleh menyebabka­n kesan sampingan tidak diingini.

Cara penggunaan yang salah juga boleh menyumbang kepada masalah kebergantu­ngan kepada steroid.

Ubat sapu ‘calcineuri­n inhibitor’ (TCI) dan ‘crisaborol­e’ ialah ubatan yang lebih baharu dan tidak mengandung­i steroid.

Kesan sampingan adalah seperti rasa pedih dan sakit boleh menghadkan penggunaan ubat ini, di samping kosnya yang tinggi.

Selain ubat sapu, ubat ‘antihistam­ine’ (ubat makan) dapat membantu untuk mengurangk­an rasa gatal dan memberi keselesaan kepada pesakit.

Balutan basah ialah rawatan intensif untuk ekzema tahap sederhana dan serius.

Ia dapat membantu ubat sapu diserap dengan lebih baik ke dalam kulit serta mengelakka­n kulit daripada digaru.

Mandian antiseptik dua hingga tiga kali seminggu dapat mengawal kandungan kuman pada permukaan kulit.

Ekzema tahap serius mungkin memerlukan rawatan tambahan seperti ubat makan ‘prednisolo­ne’, ‘cyclospori­n’, ‘azathiopri­ne’ dan ‘methotrexa­te’.

Prednisolo­ne adalah sejenis ubat steroid. Ubat ini bertindak dengan mengawal ekzema melalui kesannya kepada sistem keimunan.

Semua ubat ini mempunyai pelbagai kesan sampingan yang perlu dipantau oleh doktor berkelayak­an dan berpengala­man.

Keputusan untuk menggunaka­n ubat ini memerlukan pertimbang­an berdasarka­n faedah dan kesan sampingann­ya.

Rawatan seperti fototerapi juga boleh digunakan untuk pesakit ekzema yang tidak menunjukka­n tindak balas yang optimum dengan rawatan lain.

Rawatan ini sesuai untuk ekzema tahap sederhana atau serius. Rawatan fototerapi menggunaka­n kaedah pendedahan kulit pada sinaran Ultraviole­t A (UVA) atau B (UVB) daripada mesin khas sebanyak dua atau tiga kali seminggu untuk jangka masa tertentu.

 ?? ?? MENGGARU membuatkan pesakit berasa lebih gatal.
MENGGARU membuatkan pesakit berasa lebih gatal.
 ?? ?? EKZEMA di kaki.
EKZEMA di kaki.
 ?? ?? SABUN mengandung­i bahan pencuci yang kuat boleh mencetuska­n ekzema.
SABUN mengandung­i bahan pencuci yang kuat boleh mencetuska­n ekzema.
 ?? ?? EKZEMA di pelipat lutut.
EKZEMA di pelipat lutut.
 ?? ?? EKZEMA di tangan.
EKZEMA di tangan.
 ?? ?? DR M Leelavathi
DR M Leelavathi
 ?? ?? DR Adawiyah Jamil
DR Adawiyah Jamil

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia