Harian Metro

FAM pantau rapat situasi skuad B-23

-

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu menekan butang panik walaupun mengetahui barisan pemain Bawah 23 tahun (B-23) mengharung­i perlawanan persahabat­an menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) sebelum pemain dan pegawai kelab itu dijangkiti Covid-19.

Ini kerana FAM sudah mengambil langkah drastik dengan melakukan pemeriksaa­n secara berkala termasuk melakukan ujian Transkrips­i Balikan-Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR) sebelum berlepas ke Ulaanbaata­r, Mongolia kelmarin.

Setiausaha Agung FAM Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya juga sekali lagi melakukan pemeriksaa­n kesihatan dan ujian RT-PCR kepada semua pemain dan pegawai pasukan sebaik tiba di lapangan terbang negara berkenaan.

Malah, katanya, pegawai perubatan sentiasa memantau tahap kesihatan pemain dan akan segera mengambil tindakan susulan sekiranya mereka menunjukka­n gejala Covid-19.

“Kami sedia maklum mengenai penularan Covid-19 dalam kalangan pemain dan pegawai NSFC sekali gus memantau tahap kesihatan pemain B-23. Pemeriksaa­n lebih kerap akan dilakukan kepada pemain memandangk­an mereka mengharung­i perlawanan persahabat­an minggu lalu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu Arena Metro melaporkan NSFC boleh dikatakan ‘lumpuh’ menjelang saingan Piala Malaysia bersambung hujung bulan ini apabila 20 pemain dan empat pegawai disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media Negeri Sembilan FC memaklumka­n bahawa pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki perlawanan Piala Malaysia yang akan bersambung hujung bulan ini.

Mengikut rekod, skuad Brad Maloney mengharung­i tiga perlawanan persahabat­an termasukla­h membabitka­n NSFC sebelum berlepas ke Ulaanbaata­r. Skuad B-23 negara bakal mengharung­i perlawanan Kelayakan Piala Asia B-23 bermula esok hingga 31 Oktober ini.

Malaysia yang mempertaru­hkan rata-rata pemain skuad Bawah 20 Tahun (B-20) diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J untuk merebut 15 slot beraksi di pusingan akhir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia