Harian Metro

Bayar mahal tapi hanya umrah DIY

- Oleh Skuad Khas Harian Metro am@hmetro.com.my

Mengimpika­n untuk menunaikan ibadah umrah dengan teratur bersama ‘keturunan’ Rasulullah SAW, namun itu hanya skrip ‘pemasaran’ untuk menjual pakej umrah.

Itu yang berlaku terhadap lebih 100 jemaah umrah anjuran sebuah madrasah yang mengenakan bayaran tinggi dengan pelbagai janji manis termasuk melaksanak­an ibadah berkenaan dengan lelaki mengaku keturunan Nabi SAW.

Hakikat yang berlaku sebaliknya apabila jemaah ini hanya diberikan visa pelancong manakala ibadah umrah mereka yang seharusnya dilengkapi dengan jadual program, hanya umrah DIY (secara sendiri) saja.

Untuk rekod, penganjur umrah berkenaan adalah madrasah sama yang mempromosi­kan seorang lelaki dengan gelaran ‘Mawla’ yang didakwa keturunan Rasulullah SAW.

Keselesaan hotel serta penerbanga­n yang dijanjikan turut lebur kononnya harga penginapan di tanah suci berkenaan melambung naik dan meminta wang tambahan daripada jemaah.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Laila, 50-an berkata, dia bersama suami setuju untuk mengambil pakej umrah berkenaan yang dianjurkan sebuah madrasah kerana tertarik dengan penyertaan ‘Mawla’ terbabit.

Menurutnya, dia serta jemaah lain turut merasa tertipu kerana mereka pergi menggunaka­n visa pelancong dan bukannya visa umrah.

“Siapa yang tidak mahu untuk menunaikan umrah bersama-sama keturunan Rasulullah SAW, pastinya ibadah umrah berkenaan akan lain.

“Untuk tujuan itu, saya serta suami mengambil pakej A bernilai RM8,000 seorang dan wang itu dimasukkan kepada akaun sebuah madrasah.

“Seminggu sebelum bertolak ke tanah suci, saya dihubungi oleh seorang ahli khidmat madrasah untuk memasukkan wang RM500 lagi kepada akaun yang diminta,” katanya.

Laila berkata, dia bertanyaka­n berhubung penambahan bayaran berkenaan dan mereka menyatakan berlaku kenaikan harga penginapan hotel di tanah suci.

“Sebelum pergi, ahli khidmat ini menyatakan bahawa kami (semua jemaah) akan mempunyai banyak masa dengan ‘Mawla’ sedangkan hakikat sebenarnya tidak begitu.

“Kami hanya ada beberapa minit saja dengan lelaki berkenaan sepanjang umrah terbabit dan saya sangat terkilan dengan perjalanan umrah umpama umrah DIY saja,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Khatijah, 50-an, berkata, dia kesal dengan penganjur yang melepaskan jemaah begitu saja tanpa bimbingan mutawif sepanjang berada di tanah suci.

Katanya, dengan bayaran lebih RM20,000, dia lebih bernilai pakej umrah daripada yang sepatutnya mendapat kemudahan yang lebih baik seperti ibadah umrah sebelum ini.

“Ini kali ketiga saya sertai umrah, tetapi saya rasa seperti ditipu. Ada ahli keluarga yang sakit pun, penganjur seperti tidak peduli. Saya harap tidak ada mangsa lagi selepas ini. Nasihat saya, pilihlah agensi yang sudah diketahui umum bagus dalam menyediaka­n pakej umrah,” katanya.

Sementara itu sumber keselamata­n berkata, penganjur akan memberikan alasan kononnya berlaku kenaikan harga hotel yang tinggi mengakibat­kan pakej yang dijanjikan tidak dapat ditunaikan.

Berdasarka­n maklumat, katanya, terdapat 230 orang mangsa daripada pakej umrah ini yang membabitka­n jumlah keseluruha­n sekitar RM4.05 juta.

“Kami hanya ada beberapa minit saja dengan lelaki berkenaan sepanjang umrah terbabit dan saya sangat terkilan dengan perjalanan umrah umpama umrah DIY saja”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia