Harian Metro

Tindakan selamat negara

Anwar ambil tindakan gugur jawatan anggota Kabinet di bawah pimpinanny­a jika didapati terlibat dengan salah laku rasuah

- Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa mana-mana anggota Kabinet di bawah pimpinanny­a yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah, wajib digugurkan daripada jawatan mereka.

Beliau berkata tindakan itu bagi menyelamat­kan negara daripada gejala rasuah dan beliau juga telah mengarahka­n Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap jemaah Menteri yang didapati terlibat dengan salah laku itu.

“Sudah setahun lebih kita memerintah… banyak diserang, tetapi saya tanya di Parlimen dan di luar Parlimen beri satu bukti menteri, perdana menteri sekarang kalau mereka ada terbabit rasuah dan kalau ada, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman-hukum.

“Namun tidak ada dan (selepas) setahun tiga bulan saya ‘tabik’ dengan rakan-rakan, kita boleh beri imej rakan kepimpinan yang bersih daripada rasuah dan ingatan itu jelas.

“...kalau ada (rasuah), saya akan kata jangan tanya saya, persila ambil tindakan dan orang berkenaan wajib digugurkan, baru negara selamat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024 di sini semalam.

Anwar berkata beliau juga menasihati jemaah Menteri untuk menilai dan mengkaji sebarang projek yang telah diluluskan, sebelum meneruskan­nya bagi memastikan prosesnya telus, bersih dan kemungkina­n ia boleh menjimatka­n.

Beliau berkata perkara sebegitu penting untuk diteliti supaya wang rakyat dapat diselamatk­an dan seterusnya dipulangka­n semula kepada rakyat untuk manfaat bersama.

“Namun ia memerlukan kerjasama untuk tolong selamatkan negara ini dengan lapor sesiapa yang melanggar (undang-undang), baru boleh kita serah kepada SPRM untuk bertindak, kerana ini bukan kerja SPRM sahaja, ini kerja kita, dengar, lapor dan jangan fitnah, jangan khianat.

“Sebab itu saya cadangkan SPRM, untuk adakan wacana sedemikian di seluruh negara dan membicarak­an rasuah…kerana ramai dalam kalangan elit, sama ada politik, korporat dan pengurusan negara agak tak senang dengan wacana mengenai rasuah sebab mereka hidup dan bergeluman­g dengan itu,” katanya.

Perdana Menteri turut mempersoal sikap pemimpin pembangkan­g yang dilihat masih membisu dan tidak menyatakan sebarang sokongan terhadap usaha SPRM menyiasat golongan atasan yang dikaitkan dengan isu rasuah.

Malah Anwar berkata pihak berkenaan pula sebaliknya menuduh siasatan yang dilakukan terhadap ‘maha kaya’ itu kerana dendam kesumat.

“Saya lihat di Parlimen, pembangkan­g menggelupu­r seolah-olah marah, benci. Tidak ada suara pembangkan­g yang sokong langkah membantera­s rasuah, bagi saya aneh.

“Saya semasa menjadi pembangkan­g, bila ada cadangan pemerintah usul SPRM, saya dukung, malah saya kata belum cukup berani dan baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap paling ‘maha kaya’, belum ada suara daripada pembangkan­g,” katanya.

 ?? ?? ANWAR Ibrahim pada Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC SUMMIT) 2024 di Kuala Lumpur.
ANWAR Ibrahim pada Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC SUMMIT) 2024 di Kuala Lumpur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia