Harian Metro

WARGA EMAS DITANGKAP

- Sik Oleh Zuliaty Zulkiffli am@hmetro.com.my

Polis menahan lelaki warga emas bagi membantu siasatan kes anggota polis Cawangan Khas (SB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut terkena tembakan di Kompartmen 124 Hutan Simpan Ulu Muda di sini, awal pagi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superinten­dan Abdull Razak Osman berkata, suspek berusia 65 tahun ditahan jam 2 petang semalam ketika hadir ke Balai Polis Sik.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan suspek direman di Mahkamah Sungai Petani.

Menurutnya, polis menerima maklumat kejadian itu jam 10 pagi dengan mangsa berusia 39 tahun terkena tembakan sewaktu operasi menyiasat penceroboh­an dan pemburuan haram yang berlaku di lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sik dan anggota Cawangan Khas IPK Kedah serta pasukan Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah dibantu oleh orang awam memasuki kawasan Hutan Simpan Ulu Muda, Sik pada Selasa lalu pada jam 12 tengah hari.

“Mereka bermalam di Kompartmen 103, Hutan Simpan Ulu Muda dan semalam, jam 3 petang, mangsa bersama dua orang awam dipercayai bergerak ke Kompartmen 124 di dalam kawasan hutan simpan itu menggunaka­n kenderaan awam untuk membuat pemerhatia­n dan siasatan.

Namun sehingga jam 6.30 petang, mereka didapati belum pulang ke tempat penginapan di Kompartmen 103,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik di sini, kelmarin.

Abdull Razak berkata, seterusnya usaha mencari mereka dijalankan ahli pasukan lain, namun hanya menemui kenderaan yang digunakan di persimpang­an antara Kompartmen 124 dan 125.

Katanya, ketiga-tiga mereka termasuk mangsa dipercayai tersesat akibat cuaca gelap dan pada jam 2 pagi terdengar satu letupan yang dipercayai mangsa terkena tembakan di bahagian hadapan badan.

“Mangsa dibawa balik ke Kompartmen 103 dan disyaki meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Sik dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Abdull Razak menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes dan pihaknya menyiasat punca tembakan dilepaskan hingga membawa kematian.

 ?? ?? MAYAT anggota polis yang maut terkena tembakan dibawa ke dalam trak polis dari Hospital Sik ke HSB untuk tindakan lanjut. - Gambar /ZULIATY ZULKIFFLI
MAYAT anggota polis yang maut terkena tembakan dibawa ke dalam trak polis dari Hospital Sik ke HSB untuk tindakan lanjut. - Gambar /ZULIATY ZULKIFFLI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia