Harian Metro

5 ditahan minta, terima suapan

-

Johor Bahru: Tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama dua orang awam ditahan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi menyeludup warga asing masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabang­sa Senai (LTAS) di sini, kelmarin.

Sumber berkata, kelima-lima suspek itu membabitka­n empat lelaki dan seorang perempuan berusia 35 hingga 46 tahun.

Menurutnya, penahanan mereka dibuat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor dengan kerjasama Unit Integriti JIM Johor.

“Tiga pegawai imigresen yang bertugas di LTAS dan dua orang awam itu ditahan jam 5 petang hingga 11 malam semalam (kelmarin) secara berasingan di Pejabat SPRM Johor dan di Larkin, Johor Bahru.

“Pasukan integriti JIM Johor membuat pemeriksaa­n telefon bimbit milik pegawai yang sedang bertugas di LTAS dan menemui beberapa pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp dalam telefon bimbit pegawai itu.

“Pesanan itu mengandung­i penawaran dan penerimaan wang rasuah daripada warga asing yang ingin memasuki Malaysia melalui pegawai-pegawai imigresen berkenaan.

“Ia bagi membantu menerima masuk warga asing tanpa melalui proses dan prosedur betul mengikut Arahan Tetap Ketua Pengarah dan Akta Imigresn 1956/63,” katanya.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahka­n penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, kesemua suspek direman lima hari mulai semalam sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Perintah reman itu dibenarkan Penolong Kanan Pendaftar, Nurkhalida Farhana Abu Bakar selepas permohonan dikemukaka­n SPRM, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia