Harian Metro

Konon hanya pembantu jualan

Taktik pemilik tapak bazar Lorong TAR untuk elak pihak berkuasa kesan aktiviti ali baba dilakukan

- Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor am@hmetro.com.my

Letak nama sebagai pembantu jualan menjadi taktik pemilik tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, untuk mengelak pihak berkuasa mengesan tapak itu sudah diali baba.

Taktik itu didedahkan kepada Harian Metro oleh individu yang dipercayai menjadi broker bagi pihak pemilik tapak untuk mendapatka­n peniaga yang berminat untuk berniaga di situ.

Menurutnya, memang menjadi taktiknya untuk meletak nama pihak kedua yang ‘membeli’ bazar sebagai pembantu jualan.

“Tiap-tiap tahun kita buat macam ni (letak nama) pembantu jualan,” katanya.

Individu terbabit menawar dan mempromosi­kan tapak bazar khususnya di Lorong TAR kepada yang berminat.

Selain itu, tapak bazar berkenaan ditawarkan dengan sewa sehingga RM10,000 turut dipromosi individu tertentu melalui media sosial di kumpulan tertutup bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

Ada antara mereka juga menawarkan pelan tapak strategi khusus buat peniaga yang gagal mendapat tapak ketika permohonan dilakukan.

Seorang individu ketika dihubungi wartawan menerusi peti mesej media sosial berkenaan bagaimanap­un enggan mendedahka­n maklumat dan lokasi tapak untuk disewa.

“Maaf tuan, kalau tengok sini tuan baru join (sertai) group (kumpulan) ini, jika tuan betul-betul berminat boleh jumpa saya di lorong (TAR) saya tidak boleh dedahkan di sini.

“Dekat sini ramai yang joy (suka-suka) selepas diberi jawapan mereka berdiam diri, ada juga yang mengambil tangkap layar dan membuat aduan kepada pihak berwajib, sebab itu kalau betul berminat boleh jumpa saya terus,” katanya.

Menurutnya, harga tapak adalah bergantung kepada lokasi dan dia menjanjika­n harga lebih rendah berbanding tahun lalu.

“Sekarang tak boleh letak harga tinggi, bukan semua yang boleh meniaga ada yang tak balik modal jika letak harga yang tinggi.

“Jangan risau nama tuan akan kami letak sebagai pembantu jualan, perkara ini tiap-tiap tahun kami buat,” katanya.

Sementara itu, peniaga yang enggan dikenali berkata, tapak bazar Aidilfitri di Lorong TAR kebiasaann­ya akan mula dipenuhi peniaga pada minggu kedua Ramadan.

“Memang pada awal Ramadan kumpulan ini giat mempromosi­kan tapak untuk diniagakan dengan harga yang tinggi,” katanya.

 ?? ??
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia