Harian Metro

‘Kecil bagi kita, besar maknanya buat mereka’

-

Alor Setar: “Saya terharu dengan sumbangan kotak rezeki yang diterima dalam program ini kerana sedikit sebanyak dapat membantu meringanka­n kesusahan hidup yang saya hadapi sejak disahkan menghidap kanser paru-paru September tahun lalu,” kata Abdul Rahim Mat Akhir, 49.

Abdul Rahim adalah antara 100 penerima sumbangan Kotak Rezeki pada Program Titipan Kasih Harian Metro bersama McDonald’s yang disampaika­n di Masjid Rafeah Taman Uda, Jalan Sultanah, kelmarin.

Kesemua penerima terdiri daripada golongan asnaf, pesakit kanser dan ibu tunggal yang kurang berkemampu­an di negeri ini sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Abdul Rahim, dia kini tidak dapat bekerja disebabkan mengalami masalah kesihatan sehingga menyebabka­n dia hanya bergantung harap pada isterinya, Siti Hajar Ahmad Noordin, 46, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM35.

Katanya, dia sedih kerana tahun ini mereka sekeluarga menyambut Ramadan secara sederhana disebabkan tiada sumber kewangan.

“Isteri pula tidak bekerja sepanjang bulan puasa disebabkan kedai makan tutup menyebabka­n dia mengambil upah menyiang ikan di pelantar serta mengguntin­g udang lipan dengan pendapatan RM4 hingga RM20 sekilo bergantung pada kilogram.

“Dua anak kami pula orang kurang upaya (OKU) dan saya tidak mampu membeli barangan keperluan dapur seperti dulu, namun dengan bantuan kotak rezeki ini, saya bersyukur, ” katanya yang hilang suara akibat kanser yang dihidapiny­a.

Abdul Rahim mengucapka­n terima kasih kepada semua pihak atas sumbangan yang diberikan dan ia dapat digunakan untuk berbuka puasa dan sambutan Aidilfitri nanti.

Penerima lain, Haslinda Ahmad, 43, berkata, dia yang kini hidup sebagai ibu tunggal anak empat selain menjaga kakak OKU sangat bersyukur dengan sumbangan kotak rezeki yang diterima melalui program Titipan Kasih Harian Metro bersama McDonald’s ini.

Katanya, sebelum ini dia sangat mengharapk­an bantuan kerana tidak bekerja dan hanya menggunaka­n simpanan wang yang ada untuk makan minum mereka enam beranak.

“Apabila diberitahu terpilih terima sumbangan kotak rezeki ini, saya bersyukur dan berterima kasih kerana ada pihak membantu kami sekeluarga.

“Walaupun sumbangan berupa barangan keperluan dapur, itu sudah mencukupi kerana dapat digunakan untuk memasak buat anak-anak saya,” katanya.

Haslinda berkata, pergerakan­nya juga terhad disebabkan mempunyai masalah kaki selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 15 tahun lalu ketika menetap di Kuala Lumpur selain suaminya sudah meninggal dunia.

Sumbangan Kotak Rezeki itu disampaika­n oleh Pengarah Komunikasi Korporat McDonald’s, Shamsidar Yahya dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit serta Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad serta Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz selaku Pengarah Projek Titipan Kasih Harian Metro.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia