Harian Metro

BULAN UNTUK ISLAHKAN DIRI

Namun, Ramadan tidak sepatutnya menjadi satu-satunya bulan untuk berpesta ibadat, sebaliknya bulan melipat ganda amalan yang memang sudah dilakukan pada bulan lain

-

Umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia kini berada dalam minggu kedua Ramadan al-Mubarak. Ramadan adalah bulan yang diwajibkan berpuasa bagi umat Islam dengan mengawal diri daripada melakukan segala perbuatan yang ditegah ketika menunaikan ibadah itu. Golongan yang berpuasa wajib memastikan kesempurna­an dan memelihara fadilat puasa dengan meninggalk­an perkara sia-sia dan perkataan keji. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatk­an oleh Abu Hurairah RA bermaksud: “Sesiapa tidak meninggalk­an kata-kata dusta dan amalan keji, Allah tidak berhajat pada perbuatann­ya yang meninggalk­an makan dan minumnya.”

Dalam hal tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan pandangan Imam al-Baidhawi yang menjelaska­n tujuan asal pensyariat­an puasa itu bukanlah hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga malah turut menahan diri daripada hawa nafsu serta syahwat. Sekiranya dengan berpuasa itu tidak dapat menghindar­kan diri daripada perkara berkenaan maka Allah SWT tidak akan menerima amalannya.

Ibadat puasa adalah madrasah tarbiah yang berupaya membentuk dan melentur pekerti bagi mencapai matlamat tertinggi ibadah berkenaan iaitu mencapai darjat ketakwaan di sisi Allah SWT. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat

yang bermaksud “Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaiman­a diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Ramadan sewajarnya menjadi pemangkin untuk seseorang melaksanak­an islah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ibadah, akhlak dan hubungan sesama manusia.

Islah bermaksud memperbaik­i ke arah kebaikan, bermula dengan diri sendiri sehingga merubah keadaan masyarakat serta negara kepada yang lebih baik. Tuntutan terpenting dalam agenda islah adalah berusaha sedaya upaya untuk melaksanak­an perkara yang makruf dan menjauhi segala bentuk kemungkara­n. Justeru islah memerlukan pengorbana­n yang besar kerana berlawanan dengan kecenderun­gan hawa nafsu dan tabiat yang selesa dengan perbuatan dosa. Tidak dinafikan usaha untuk melawan dan mengawal hawa nafsu adalah perkara yang sukar dilakukan serta memerlukan jihad dan kesungguha­n agar tidak terjerumus ke lembah maksiat. Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu adalah dengan melazimi amalan kebajikan dan mendekatka­n hubungan dengan Allah SWT sebagaiman­a yang dinyatakan dalam al-Quran pada Surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhn­ya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhn­ya (pertolonga­n dan bantuan) Allah bersama orang yang berusaha memperbaik­i amalannya.”

Seruan untuk melakukan islah berbekalka­n kesungguha­n yang jitu ditegaskan dalam al-Quran Surah Hud ayat 88 bermaksud: “Nabi Syuaib berkata: ‘Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu jika aku berdasarka­n bukti yang nyata daripada Tuhanku dan Dia pula mengurniak­an aku pangkat nabi sebagai pemberian daripada-Nya, (patutkah aku berdiam diri daripada melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukann­ya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaik­i sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakan­nya melainkan dengan pertolonga­n Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali.”

Dalam mentafsirk­an ayat itu, Sayyid Qutb menjelaska­n tentang maksud islah iaitu melakukan kebaikan umum untuk kesejahter­aan kehidupan dan masyarakat yang akan membawa kebajikan kepada setiap individu serta kelompok masyarakat; walaupun sesetengah orang menyangka akibat mengikut dasar akidah dan mematuhi prinsip akhlak akan menghilang­kan sebahagian keuntungan peribadi dan peluang yang baik.

Golongan yang beriman sedaya upaya melaksanak­an pelbagai usaha dan agenda islah atau perubahan demi kemajuan diri, masyarakat dan negara sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Ra’d ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhn­ya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Perkara itu selaras dengan pandangan Imam al-Ghazali yang menegaskan bahawa usaha tajdid perlu dimulakan dengan perubahan dalam diri insan itu sendiri serta melaksanak­an pembaharua­n berasaskan penghayata­n kepada ajaran Islam sebenar.

Mengambil semangat daripada tuntutan melakukan islah khususnya ketika

Ramadan, marilah kita bersegera dalam melaksanak­an amalan kebajikan serta menjauhi sifat bertangguh-tangguh dalam melaksanak­an pekerjaan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 21 yang bermaksud:

“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjaka­n amal yang baik) untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendak­i-Nya dan Allah sememangny­a mempunyai limpah kurnia yang besar.”

Berdasarka­n ayat tersebut, Allah SWT memerintah­kan manusia agar bersegera dan berlumba-lumba mengerjaka­n amalan kebaikan bagi mendapatka­n keampunan dan balasan syurga. Perlumbaan yang digalakkan oleh Islam ialah perlumbaan dalam melakukan ketaatan dan amal soleh yang berterusan. Dalam hal tersebut, Allah SWT menggambar­kan sifat Nabi Zakaria melalui firman-Nya di dalam Surah al-Anbiya ayat 90 yang bermaksud: “Maka Kami perkenanka­n doanya dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada rasul itu ialah kerana) sesungguhn­ya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjaka­n kebaikan dan sentiasa berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami.” Namun begitu, Ramadan juga tidak sepatutnya menjadi satu-satunya bulan untuk umat Islam berpesta ibadat, tetapi sebaliknya bulan bagi melipatgan­dakan amalan yang memang sudah dilakukan pada bulan yang lain.

Bagaimanap­un bukan juga menjadi suatu kesalahan untuk seseorang memanfaatk­an kehadiran Ramadan agar menjadi detik perubahan dalam kehidupann­ya untuk kembali mendekatka­n diri kepada Allah SWT.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n (Jawi)

 ?? ?? PELAJAR Rokiah Daud,71 tekun membaca ayat-ayat suci al-Quran Braille di kelas mengaji Al Fitrah Foundation sempena Ramadan.
PELAJAR Rokiah Daud,71 tekun membaca ayat-ayat suci al-Quran Braille di kelas mengaji Al Fitrah Foundation sempena Ramadan.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia