Harian Metro

‘Daddy tolak Yaya tepi jalan’

-

Kuala Lumpur: “Dia suami dan bapa yang penyayang sehingga akhir hayatnya,” kata Nor Shawany Ahmad Radzi, 37, mengenai suaminya yang meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Sungai Tua, Gombak, pada Rabu lalu.

Mohd Khairee Idrus Tam, 39, yang menunggang motosikal sempat menolak anak perempuann­ya ke tepi jalan sebelum maut dirempuh sebuah lori manakala anak Khayra Shakira, 8, cedera di kaki.

Nor Shawany berkata, dia menerima panggilan kejadian kira-kira jam 6 petang daripada guru dan orang awam sebelum bergegas ke lokasi.

“Setiap hari suami memang hantar dan ambil anak tunggal kami di sekolah pada waktu petang. Yaya (anak) beritahu semasa dalam perjalanan pulang suami mengelak sebuah kereta yang membuka pintu secara tiba-tiba menyebabka­n mereka terjatuh.

“Ketika itu suami sempat tanya keadaan Yaya dan mereka tidak cedera lalu bangun semula. Yaya beritahu daddy mahu mengangkat motosikal dan ketika itu datang sebuah lori yang mungkin tidak nampak mereka jatuh.

“Yaya berkata daddy menolaknya dengan kuat ke tepi jalan sebelum daddy dan motornya dilanggar lori itu,” katanya.

Nor Shawany berkata, anaknya sudah dibenarkan keluar Hospital Selayang kelmarin, selepas menerima rawatan namun masih berkerusi roda kerana terdapat keretakan pada buku lali.

“Anak masih trauma dengan kejadian itu, namun bersyukur dia kuat dan faham bapanya sudah tiada. Dia sangat rapat dengan arwah berbanding saya disebabkan arwah mengurus dan menjaganya kerana bekerja di rumah,” katanya jenazah selamat dikebumika­n di kampung halaman di Temerloh, Pahang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia