Harian Metro

Dataran MBJB meriah dengan pengunjung berbuka ala ala piknik

-

Johor Bahru: Suasana Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berubah wajah sejak Ramadan pertama apabila kawasan itu menjadi tumpuan healing warganya untuk berbuka puasa.

Seawal jam 5.30 petang setiap hari, sudah ada pengunjung datang dengan membawa tikar, perkakasan berkelah dan makanan menanti waktu berbuka puasa.

Berbumbung­kan langit terbentang luas, kawasan padang dataran ini penuh pada jam 7 malam dengan kehadiran pengunjung bersama keluarga atau rakan-rakan.

Pekerja swasta, Norshikin Mohd Salleh, 40 berkata, suasana berbuka di dataran amat berbeza dengan berbuka di hotel dan restoran.

“Dataran suasananya sangat sesuai untuk anak-anak bermain dan berlari selepas buka puasa. Ada juga peniaga yang menjual belon di sini, jadi anak-anak seronok.

“Saya biasanya berbuka dengan rakan dengan membuat konsep potluck dan merasa hidangan buka puasa bersama-sama.

“Keadaan lebih meriah sebab ramai orang lebih-lebih lagi pada hari minggu. Kekangan berbuka di dataran ini adalah ruang parkir dan ruang solat. Kami ambil inisiatif solat atas tikar yang kami bawa sebab mahu pulang selepas Isyak,” katanya di sini.

Sementara itu, penjawat awam, Mohd Shothri Ahmad, 36 berkata, ini kali pertama berbuka puasa di kawasan terbuka seperti ini.

Katanya, suasana lebih meriah dan seronok bukan sahaja kepada orang dewasa, tetapi kanak-kanak.

“Ada yang datang dengan keluarga besar seperti berkelah, ada yang datang dengan kawan-kawan.

“Sementara hendak tunggu waktu berbuka puasa, ada yang berbaring atas tikar, anak-anak akan main dulu jadi mereka tidak bosan.

“Ramai yang berbuka di sini, saya pergi hari biasa jam 7 malam pun dah penuh, kalau hari minggu kena datang awal lagi.

“Penambahba­ikkan mungkin dari segi pengurusan sampah, kita sama-sama boleh jaga kebersihan kawasan ini. Kalau boleh ambil sampah masing-masing buang jadi kawasan ini pun bersih,” katanya.

 ?? ?? SUASANA Dataran MBJB yang menjadi lokasi tumpuan berbuka puasa. - Gambar NSTP/OMAR AHMAD
SUASANA Dataran MBJB yang menjadi lokasi tumpuan berbuka puasa. - Gambar NSTP/OMAR AHMAD

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia