Harian Metro

Lapan murid teruja dapat berbuka puasa rumah cikgu

-

Baling: “Saya dan isteri ikhlas menyantuni murid kami dan anggap mereka seperti anak sebab itu tak sampai hati menghampak­an hasrat mereka berbuka puasa bersama sejak tahun lalu. Jadi saya minta isteri masak nasi ayam untuk juadah berbuka di rumah,” kata Ahmad Farhan Zainudin.

Ahmad Farhan, 32, guru Bahasa Melayu di sekolah rendah di sini, yang mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi video kegembiraa­n lapan murid lelaki berusia 11 tahun berbuka puasa bersamanya dan isteri, Fatin Athirah Yunus, 31, dan dua anak mereka Jumaat lalu.

Ahmad Farhan berkata, dia dan isteri gembira dapat berbuka puasa bersama lapan murid lelaki yang dikenali sejak berusia sembilan tahun.

Katanya, kedatangan semua murid berkenaan selepas mendapat keizinan ibu bapa masing-masing, malah menghantar kanak-kanak itu ke sekolah untuk mengambil dan dibawa pulang ke rumah.

“Mereka murid saya ketika tahun tiga dan mereka mahu berbuka puasa bersama sejak Ramadan tahun lalu, tetapi ketika itu kami sibuk. Sebab itu apabila mereka tanya tahun ini saya bincang dengan isteri untuk bawa mereka berbuka di rumah saja.

“Isteri masak nasi ayam dan murid juga bawa menu tambahan kiriman ibu bapa mereka. Bukan saja teruja berbuka bersama, malah dua anak kami juga ceria dengan kehadiran mereka malam itu.

“Mereka sangat seronok dan ibu bapa mereka beritahu kanak-kanak itu selalu mengira hari untuk mengunjung­i kami. Itu yang buat saya rasa dihargai dan menghargai mereka,” katanya.

Katanya, dia mengenali ibu bapa semua murid itu dan mengakui hubunganny­a erat, malah isteri yang juga guru di sekolah berasingan juga mempunyai hubungan rapat dengan muridnya.

“Murid bukan sekadar pelajar tetapi saya anggap seperti anak, malah ada yang tamat sekolah rendah kekal berhubung dengan saya. Selagi mereka menghormat­i saya sebagai guru, saya tak mahu letak jurang terlalu besar antara kami.

“Apa yang saya lakukan ini demi mencipta kenangan sementara masih mengajar di sini dan kami sama-sama gembira melayan kunjungan murid ke rumah.

“Saya sentiasa ingatkan mereka belajar bersungguh-sungguh biarpun bersekolah di luar bandar supaya mereka menjadi manusia yang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

 ?? ?? AHMAD Farhan berkongsi video kegembiraa­n bersama lapan murid berbuka puasa bersamanya pada Jumaat lalu.
AHMAD Farhan berkongsi video kegembiraa­n bersama lapan murid berbuka puasa bersamanya pada Jumaat lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia