Harian Metro

Kalah, tapi raih pengalaman di Doha

-

Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara meraih pengalaman berguna menjelang kempen sebenar saingan Piala Asia B-23 di Doha, Qatar bermula 17 April ini.

Ia selepas skuad B-23 kendalian Juan Torres Garrido itu tumbang tipis 1-2 di tangan skuad B-23 China dalam aksi pemanas badan di Doha, awal pagi semalam.

Walaupun tewas, ia sekurang-kurangnya memberi peluang buat Garrido mengesan kelemahan sebelum turun membuka tirai aksi Kumpulan D menentang Uzbekistan pada 17 April nanti.

Malah dalam aksi itu, dua gol dijaringka­n lawan hanya menerusi dua sepakan penalti, sekali gus menandakan skuad Harimau Muda berkemampu­an memberi cabaran dalam saingan sebenar.

Dalam aksi persahabat­an tertutup itu, China terlebih dulu mendahului menerusi sepakan penalti Aifeierdin­g Aisikaer pada minit 26 bagi menutup separuh masa pertama dengan kelebihan satu gol di depan.

Bersambung aksi di babak kedua, skuad muda negara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 menerusi penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fergus Tierney.

Malaysia bagaimanap­un terpaksa akur apabila pengadil perlawanan sekali lagi menghadiah­kan sepakan penalti buat pasukan lawan.

Pada minit ke-85 permainan, Aisikaer sekali lagi mudah menyempurn­akan sepakan penalti untuk gol kemenangan.

Selepas ini, anak didik Garrido akan turun dalam satu lagi aksi persahabat­an menentang pasukan tuan rumah, Qatar yang dijadual berlangsun­g Ahad ini dan ia aksi pemanas badan terakhir.

Selain Uzbekistan akan ditemui pada perlawanan pertama, Malaysia akan bertemu Vietnam dalam aksi kedua (20 April) sebelum berdepan Kuwait (23 April) di perlawanan terakhir kumpulan.

Dua pasukan terbaik daripada setiap empat kumpulan akan meraih tiket ke suku akhir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia