Harian Metro

‘Rasa seronok mudahkan urusan orang’

Pemuda sanggup ulang alik dengan jarak lebih 250km setiap hari untuk jadi ‘pomen’ jalanan

- Oleh Redzuan Muharam redzuan.muharam@hmetro.com.my Batu Pahat

Demi mencari rezeki, Muhamad Naqiuddin Abdull Halim sanggup berulang alik setiap hari dari sini, ke Johor Bahru, Johor dengan jarak lebih 250 kilometer (km) untuk menjadi ‘pomen’ jalanan yang membantu melakukan selenggara motosikal.

Muhamad Naqiuddin, 26, mengakui penat namun mengenepik­an perkara itu kerana mengenangk­an niat mencari wang untuk menyara diri selain membantu ibu bapanya menyara empat adik yang masih bersekolah.

Menurut Muhamad Naqiuddin, kerja itu dilakukan sejak Ramadan kedua dan diteruskan kerana mendapat sambutan hasil usahanya mempromosi­kan perkhidmat­an itu di laman sosial.

“Sebelum jadi pomen, saya pernah kerja di kilang di Kuala Lumpur selama sembilan bulan sebelum kembali ke kampung kerana tidak dibayar gaji.

“Memang buntu selepas kembali ke kampung kerana tiada kerja, malah cubaan memohon kerja di Singapura juga tidak berhasil.

“Bagaimanap­un, tiba-tiba terlintas idea untuk tawarkan khidmat sebagai pomen jalanan pada awal Ramadan dengan cuba kongsikan di Facebook (FB) dan Alhamdulil­lah, dapat sambutan,” katanya dihubungi.

Buat masa ini, Muhamad Naqiuddin menawarkan selenggara asas seperti mengambil upah dengan membantu pelanggan menukar minyak hitam.

Katanya, pelanggan yang mahu mendapatka­n khidmatnya perlu membuat tempahan slot terlebih dahulu dengan menghubung­inya di FB atau TikTok.

“Saya akan ke lokasi pelanggan dan cabarannya adalah perlu berulang-alik setiap hari dan memandangk­an saya keluar pada lewat petang, selalunya saya akan tiba di rumah pada Subuh. “Begitulah rutin harian saya dan setakat ini, hampir setiap hari saya keluar bekerja. “Walapun penat, saya reda kerana ini semua rezeki daripada Allah

SWT, Dia yang buka pintu rezeki ini,” katanya.

Walaupun upah diterima tidak seberapa, Muhamad Naqiuddin bersyukur dengan rezeki diterima dan berpuas hati kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Seronok dapat mudahkan urusan orang terutama warga Johor Bahru yang bekerja di Singapura dan tidak ada masa untuk selenggara motosikal mereka.

“Bagi saya, untung rugi jatuh nombor dua kerana yakin ada rezeki daripada Allah SWT dan setakat ini, maklum balas pelanggan positif malah semuanya membayar upah perkhidmat­an,” katanya.

Muhamad Naqiuddin berkata, selagi ada kudrat, dia akan terus menawarkan khidmat ini yang dijalankan bersama sahabatnya, Muhamad Azhari Mustafa, 29, atau nama panggilann­ya, Peng.

“Walapun penat, saya reda kerana ini semua rezeki Allah SWT Muhamad Naqiuddin

 ?? ?? MUHAMAD Naqiuddin (kanan) bersama rakannya, Muhamad Azhari melakukan servis motosikal. Gambar kecil, Muhamad Naqiuddin sanggup berulang alik lebih 250km setiap hari untuk mencari rezeki sebagai pomen jalanan.
MUHAMAD Naqiuddin (kanan) bersama rakannya, Muhamad Azhari melakukan servis motosikal. Gambar kecil, Muhamad Naqiuddin sanggup berulang alik lebih 250km setiap hari untuk mencari rezeki sebagai pomen jalanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia