Harian Metro

Teruja lihat anak bergaya hari raya

-

Kuala Terengganu: Aidilfitri tahun ini cukup istimewa buat pasangan bisu dan pekak dari Kampung Chendering di sini, apabila menyambut 1 Syawal bersama puteri sulung mereka.

Mohamed Asraq Mohamed Asali, 26, berkata, dia dan isteri, Wan Nur Fakhrul Iffah Ismail, 26, menyambut hari raya bersama Nur Aisya Suffiya Mohamed Asraq, 13 bulan, di Pasir Pekan, Kelantan.

“Persiapan hari raya kali ini banyak tertumpu kepada anak kerana kami mahu dia tampil cantik pada hari raya.

“Walaupun kami pasangan berstatus orang kurang upaya (OKU), kami juga pentingkan penampilan menarik pada hari raya,” katanya melalui temu bual WhatsApp, semalam.

Katanya, urusan penjagaan anaknya lebih mudah apabila dibantu ahli keluarga lain.

“Pengalaman pertama menjaga anak kecil sangat mencabar, tetapi dengan bantuan keluarga dan keluarga mentua semua berjalan lancar.

“Kami tidak dapat pastikan sama ada anak alami masalah sama seperti kami atau sebaliknya kerana masih kecil.

“Bagaimana pun kami berharap dia normal dan dapat membesar seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Katanya, anaknya akan dijaga keluarga mentua di Kelantan buat sementara waktu kerana mereka dalam proses berpindah ke rumah baharu.

“Kami sedih kerana berpisah dengannya tetapi terpaksa kerana perlu fokus pada proses pindah rumah,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Mohamed Asraq berkahwin dengan gadis pilihan, Wan Nur Fakhrul Iffah pada 10 Januari 2021.

Pasangan itu berkenalan di Sekolah Vokasional Shah Alam, Selangor sebelum mengambil keputusan berkahwin selepas tujuh tahun berkawan.

“Walaupun kami pasangan berstatus orang kurang upaya (OKU), kami juga pentingkan penampilan menarik pada hari raya”

 ?? ?? MOHAMED Asraq dan Wan Nur Fakhrul Iffah bersama anak sulung mereka, Nur Aisya Suffiya.
MOHAMED Asraq dan Wan Nur Fakhrul Iffah bersama anak sulung mereka, Nur Aisya Suffiya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia