Harian Metro

Penumpang terjejas kecewa tiada penginapan disediakan

-

Sepang: “Saya susah hati, sampai bila kami sekeluarga harus berada di lapangan terbang sementara menunggu penerbanga­n baharu kerana tiada penginapan ditawarkan oleh syarikat penerbanga­n,” kata Jirang Yahiya, 63.

Jirang yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata, dia bersama isteri serta anak perempuan berusia 19 tahun tiba di Kuala Lumpur, dua minggu lalu.

“Kami sekeluarga datang ke Semenanjun­g untuk bercuti sempena Aidilfitri dan dijadualka­n pulang ke Sandakan dengan menaiki penerbanga­n, jam 10 pagi tadi (semalam).

“Sewaktu mahu berlepas, kami diminta untuk keluar daripada pesawat sebelum dimaklumka­n penerbanga­n dibatalkan akibat faktor bencana alam (letusan Gunung Berapi Ruang),” katanya.

Dia ditemui di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, semalam. Menurutnya, dia terkilan dengan maklum balas daripada syarikat penerbanga­n berhubung kebajikan penumpang yang terjejas apabila tiada penginapan disediakan.

“Saya berasal dari Sabah dan saya tiada kenalan mahupun ahli keluarga di sini (Kuala Lumpur). Jika tiada penginapan disediakan, bagaimana kami sekeluarga mahu rehat dan mandi.

“Mereka hanya sediakan kupon makanan RM30 setakat ini dan kami belum dimaklumka­n bila dapat menaiki penerbanga­n seterusnya ke destinasi dituju,” katanya yang juga pesara swasta.

Seorang lagi penumpang yang terkandas, Nur Athirah Afrina Abdullah, 22, berkata, dia tiba di KLIA Terminal 1, jam 5 pagi selepas bergerak dari rumahnya di Rawang, dua jam sebelum itu.

“Jika diikutkan, penerbanga­n saya ke Kuching, Sarawak adalah pada jam 7 pagi tadi tetapi kami dimaklumka­n, penerbanga­n itu dibatalkan semasa berada dalam pesawat.

“Hanya selepas itu baru saya tahu bahawa penerbanga­n dibatalkan akibat letusan gunung berapi di Indonesia,” katanya yang juga penuntut tahun dua dalam bidang Ekonomi Antarabang­sa di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Katanya, dia mengambil penerbanga­n ke Kuching semalam, kerana perlu menghadiri kuliah hari ini, selepas menjalanin­ya secara dalam talian.

“Ada juga kawan (rakan sekuliah) yang terkandas dan maklumkan bahawa penerbanga­nnya mungkin dijadualka­n semula pada minggu depan.

“Saya belum maklumkan masalah ini (terkandas) kepada pensyarah kerana belum mendapat maklumat lanjut daripada syarikat penerbanga­n.

“Sebolehnya saya mahu menaiki penerbanga­n paling awal ke Kuching kerana tidak mahu terlepas hadir ke kelas,” katanya yang menaiki penerbanga­n itu bersama dua rakan sekelasnya.

Sementara itu, seorang lagi penumpang terkandas dikenali sebagai Mohd Firdaus, 38, dia serta isteri dan anak perempuan berusia 12 tahun tiba di KLIA Terminal 1, jam 7.45

pagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia