Harian Metro

Inspektor direman bagi bantu siasatan

- Oleh Mary Victoria Dass am@hmetro.com.my Johor Bahru

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan dan sedang menjalanka­n siasatan berkaitan dakwaan terhadap pegawai kanan polis itu.

Beliau berkata, lelaki itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian didakwa melakukan perbuatan itu jam 6 petang di kawasan Johor Jaya di sini, kelmarin.

Menurutnya, remaja perempuan itu membuat laporan polis jam 9.21 malam kelmarin dan dibenarkan pulang.

Katanya, suspek berusia 29 tahun ditahan di kawasan Bandar Seri Alam bagi tindakan lanjut jam 11 malam pada hari sama.

“Polis turut merampas telefon bimbit berserta kad sim yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan hingga 28 April hadapan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika disabit hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebatan,” katanya semalam.

Beliau berkata, polis Johor komited dalam usaha memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan anggotanya demi meningkatk­an keyakinan masyarakat terhadap polis.

“Mana-mana polis yang dipercayai melakukan jenayah akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi berlandask­an prinsip kesamarata­an di sisi undang-undang mengikut Perkara 8 Perlembaga­an Persekutua­n.

“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatk­an tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses penyiasata­n.

“Polis juga menyeru orang awam agar konsisten dalam menyalurka­n sebarang maklumat berkaitan jenayah yang berlaku di talian Hotline Polis di 0192792095,” katanya.

“Polis turut merampas telefon bimbit berserta kad sim yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia