Harian Metro

Calon Melayu julung kali

-

Hulu Selangor: Perikatan Nasional (PN) menamakan pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut sebagai calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Bharu.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pengumuman Calon PRK Kuala Kubu Bharu di sini, malam kelmarin.

Bercakap pada sidang media selepas pengumuman itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, calon berbangsa Melayu julung kali diperkenal­kan PN di Dun Kuala Kubu Bharu dengan keputusan dibuat berpanduka­n beberapa faktor.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keputusan itu melangkaui faktor peratusan pengundi mengikut kaum, sebaliknya turut mengambil kira maklum balas daripada penduduk setempat, situasi semasa serta beberapa asas lain.

Katanya, latar belakang Khairul Azhari sebagai anak jati Hulu Selangor juga diambil kira, selain sudah lama berbakti di kawasan berkenaan dikenali masyarakat setempat dan mampu memainkan peranan sebagai wakil rakyat secara berkesan, jika diberi peluang.

“PN buat semakan intensif bersama Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Insolvensi ke atas beliau, sebelum dipilih sebagai calon.

“Kami ambil kira aspek karakter, nilai moral dan sebagainya yang ditampilka­n beliau sebelum memuktamad­kan pemilihan sebagai calon mewakili PN,” katanya.

PRK Dun Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandang­nya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi. Turut bertanding calon Muda, Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh 527 undi.

Susulan itu, Suruhanjay­a Pilihan Raya sebelum ini, dilapor menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, diikuti hari pengundian pada 11 Mei.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia