Harian Metro

Tak akan buka kasino di Johor

-

Johor Bahru: Kerajaan negeri menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dengan penegasan itu, kerajaan negeri berharap isu terbabit tidak lagi dipanjang dan dimomokkan.

Katanya, khabar angin berkenaan mampu menjejas kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonia­n masyarakat pelbagai kaum.

Malah beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincang­an berhubung perkara berkenaan apatah lagi terbabit atau dirujuk mengenainy­a.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak pernah menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincang­kan perkara berkenaan.

“Berikutan tular berita kononnya kasino bakal dibuka di Forest City, Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini.

“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan negeri yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembanguna­n Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Semua sedia maklum bahawa kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutua­n sedang giat berusaha untuk merancak dan memperting­katkan ekonomi Johor supaya ia memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahir­an tinggi buat Bangsa Johor.

“Justeru, khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruha­nnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City.

Beliau dilaporkan turut menyatakan bahawa laporan media yang memetik sumber, bahawa terdapat rancangan untuk membuka kasino berlesen kedua itu adalah tidak betul.

Sebelum ini, Bloomberg dengan memetik sumber, melaporkan Perdana Menteri bertemu dengan dua hartawan terkemuka minggu lalu bagi membincang­kan rancangan membuka kasino di Forest City.

Laporan itu mendakwa Anwar, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan mengadakan makan tengah hari dan mesyuarat mengenai kemungkina­n memberikan lesen kasino kedua Malaysia.

Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini”

Onn Hafiz

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia