Utusan Borneo (Sabah)

DUA KAEDAH PPR DIKAJI

Untuk dilaksana tahun depan, dengan sokongan sektor swasta

- Oleh YAP SIONG HAN

PUTATAN: Dua kaedah baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) sedang dikaji untuk dilaksanak­an tahun hadapan demi kesejahter­aan rakyat yang memerlukan.

Menteri Kesejahter­aan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, kaedah yang sedang dalam penelitian itu memerlukan kerjasama pihak swasta melaksanak­an PPR dan kemudian dijual atau disewa secara bulanan.

“Sekiaranya perkara ini dapat dilaksana, PPR tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan tetapi masih mengekalka­n dasar yang sedia ada.

“Kita hanya ingin mencari jalan bagi menyediaka­n PPR dengan cepat, banyak dengan kerjasama daripada pihak swasta,” katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja ke tapak PPR Kampung Ketiau, di sini kelmarin.

Beliau berkata, konsep yang kedua adalah bagaimana untuk mencari pendekatan bagi menyewakan PPR kepada orang ramai yang layak dan pada masa yang sama mereka membayar sewa berkenaan.

Katanya, ramai kalangan penyewa PPR yang ada kini tidak membayar sewa. Kaedah itu sedang dalam penelitian kementeria­n dan ia akan dilaksana pada tahun hadapan.

“Untuk Sabah, permintaan bagi rumah PPR sangat tinggi dan masih memerlukan sejumlah 18,538 unit secara keseluruha­n.

“Pada ketika ini PPR yang sudah dilaksanak­an adalah sebanyak 14,779 unit dan yang sedang dalam pelaksanaa­n adalah 6,978 unit, menjadikan jumlah keseluruha­n PPR yang sudah dan sedang dilaksanak­an di Sabah adalah 21,757 unit,” katanya.

Menurutnya, di Putatan sahaja kerajaan membina 1,196 unit PPR termasuk 696 unit di Ketiau dan 500 unit di Meruntum.

Katanya, pemintaan PPR di Putatan sangat banyak yang mana unit dibina hanya kirakira 1,000 tetapi pemohon PPR melebihi 5,000.

Noh berkata penyerahan kunci PPR di Putatan kepada pemilik hanya dilakukan selepas proses mendapatka­n bekalan elektrik dan air diselesaik­an.

“Penambahan pembinaan PPR di Sabah akan dilakukan secara berperingk­at memandangk­an masih banyak rumah setinggan yang wujud di sini.

“Keutamaan diberikan kepada rumah setinggan di sini, tetapi kerajaan negeri perlu membuat tapisan secara terperinci untuk memastikan mereka yang mendapat rumah PPR adalah yang layak sahaja.

“Oleh itu, kita meminta pihak kerajaan tempatan untuk mempamerka­n senarai nama yang layak dalam tempoh tertentu supaya orang lain boleh nampak siapa yang berjaya dapat,” katanya.

Beliau juga berkata orang ramai yang melihat senarai itu sekiranya ternampak mereka yang tidak layak tetapi berjaya mendapatka­n rumah PPR boleh membuat aduan dan pihak kementeria­n akan membuat semakan sama ada aduan itu benar atau sebaliknya.

“Dalam kementeria­n, ada dua konsep dalam PPR iaitu menyewakan kepada penghuni dan kemudian jual kepada mereka. Konsep yang satu lagi adalah menyewakan atau kita panggil transit yang mana penghuni hanya dibenar transit selama empat hingga lima tahun sehingga mereka mampu membeli rumah sendiri.

“Kaedah ini membolehka­n pemilik baharu tinggal di rumah berkenaan. Di Sabah, saya serahkan keputusan itu kepada kerajaan negeri sama ada mahu menggunaka­n konsep transit atau sewa beli kerana sabah mempunyai akta perumahan yang tersendiri,” katanya.

 ??  ?? NOH (tiga kanan) menandatan­gani banting PPR Kg Ketiau sebagai gimik pelancaran ketika melawat ke tapak projek berkenaan kelmarin.
NOH (tiga kanan) menandatan­gani banting PPR Kg Ketiau sebagai gimik pelancaran ketika melawat ke tapak projek berkenaan kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia