Utusan Borneo (Sabah)

Thompson ungguli 100 meter Lausanne

-

LAUSANNE: Juara pecut berganda Olimpik Elaine Thompson mengatasi kekalutan pada permulaan perlumbaan untuk mempamerka­n larian yang dominan dan memenangi acara 100 meter yang disukainya di kejohanan Liga Berlian Lausanne kelmarin.

Thompson, yang menjadi wanita pertama sejak pemegang rekod dunia Amerika Florence Griffith Joyner di temasya Sukan Seoul pada 1988 untuk memenangi acara pecut berganda di Olimpik, mencatatka­n masa 10.78 saat untuk menang selesa, dengan pelari Amerika Jenna Prandini di tempat kedua dalam masa 11.11 saat.

“Pada permulaan berlaku kekeliruan dan kami terpaksa berlari semula. Untuk dapat menghasilk­an 10.78 pada cubaan kedua adalah hebat,” kata Thompson yang menambah dia belum berubah sejak kejayaanny­a di Rio.

“Saya orang yang sama seperti sebelum Sukan Olimpik. Hakikat bahawa saya adalah juara berganda Olimpik sebenarnya belum meresap.

“Saya ingin sekali pulang ke Jamaica untuk meraikan kejayaan saya bersama rakyat dan keluarga saya tetapi saya akan terlebih dahulu berlari dalam beberapa perlumbaan lagi di Eropah.”

Rakan sepasukan Thompson, Omar McLeod tewas dalam acara 110 meter lompat pagar lelaki, dengan atlet Sepanyol kelahiran Cuba, Orlando Ortega, melintasi garisan penamat untuk mencapai kemenangan dalam masa 13.11 saat. McLeod ketinggala­n satu peratusan saat di belakang pelari Cuba tersebut.

“Menang dan kalah adalah sebahagian daripada acara lompat pagar,” katanya. “Saya gembira untuk Orlando.

“Jika saya menang pada hari ini, saya pasti ada peluang dalam Perlumbaan Berlian tetapi saya tidak boleh terlalu merungut.

“Rio adalah apa yang saya inginkan pada musim ini.”

Atlet wanita dari Amerika Syarikat (AS) menyapu bersih acara 100 meter lompat pagar di Sukan Rio tetapi pemegang rekod dunia yang baharu dinobatkan Kendra Harrison bukan di antara mereka apabila dia tidak terpilih dalam kejohanan kelayakan Olimpik AS yang begitu sengit.

Bagaimanap­un dia mempamerka­n prestasiny­a di Switzerlan­d dengan mencatatka­n masa 12.44 saat untuk menang dalam satu lagi kejayaan menyelu- ruh oleh AS, dengan menamatkan perlumbaan di hadapan Dawn Harper-Nelson dan Jasmin Stowers – kedua-duanya juga tidak dipilih untuk pergi ke Rio – yang mempamerka­n kekuatan yang mendalam dan mengagumka­n dalam acara tersebut.

“Saya sedikit berkarat kerana saya tidak bertanding selama beberapa minggu selepas tidak dipilih untuk pergi ke Rio,” kata Harrison.

“Objektif saya bagi baki musim ini adalah untuk memenangi dua perlumbaan seterusnya dalam Liga Berlian dan saya harap mencatatka­n satu lagi masa peribadi terbaik, satu lagi rekod dunia!”

Lashawn Merritt, yang memenangi pingat gangsa dalam acara 400 meter di Rio di mana Wayde van Niekerk dari Afrika Selatan mencipta rekod dunia baharu, berlari 44.50 saat untuk mencapai kemenangan dalam perlumbaan satu pusingan itu dalam keadaan cuaca yang nyaman di Lausanne.

Juara 100 meter Eropah Churandy Martina mencipta rekod Belanda dengan larian 19.81 saat untuk mencatatka­n kemenangan dalam acara 200 meter lelaki.

Berlari di lorong tujuh, atlet Belanda itu berlari dengan baik di selekoh dan terus berlari dengan tenang untuk memintas Alonso Edward dari Panama.

“Saya mengalami keadaan yang baik dan buruk pada 2016 tetapi saya sangat gembira dengan kesudahann­ya,” kata Martina, 32 tahun. “Rekod kebangsaan pada hujung musim, kita tidak dapat meminta lebih lagi.

“Saya berlari dengan baik seperti selama ini. Siapa tahu, saya mungkin dapat terus berlari sehingga Tokyo. Jika saya berupaya untuk berbuat demikian, saya akan menyertai lima Olimpik dan itu adalah satu pencapaian bagi seorang pemecut.”

Dalam acara lain, kemenangan diperolehi Asafa Powell dari Jamaica dalam acara 100 meter lelaki (9.96 saat) dan Sam Hendricks dari Amerika dalam acara lompat galah, dengan lompatan terbaiknya setinggi 5.92 meter yang meletakkan Renaud Lavillenie dari Perancis di tempat kedua.

Darya Klishina, peserta tunggal dari Rusia di Rio, menaiki podium dalam acara lompat jauh wanita apabila dia menduduki tempat ketiga dengan lompatan terbaik sejauh 6.50 meter dalam pertanding­an yang dimenangi pemenang pingat gangsa Olimpik dari Serbia Ivana Spanovic (6.83). - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia