Utusan Borneo (Sabah)

Monolog Dang Insum

(3 babak dramatika)

-

BABAK 1 Lampu diterangka­n

A

WAN mendung berarak tersangatl­ah perlahan. Langit bertukar ke warna jingga seperti turut bersedih kepada peristiwa malang ini. Sebentar lagi hujan pasti turun menabur air mata mega di seluruh Kota Makarang, malah ke seluruh daerah Padas Damit. Sial punya British. Mudahnya kamu datang ke negara kami untuk menjajah. Kami akan tentang kamu hingga ke titisan darah terakhir. Kami tidak bercakap kosong kecuali bangun menentang. Bisaya bukan pengecut.

Bukalah mata kalian. Hati siapa yang tidak sedih. Jiwa siapa yang tidak memberonta­k. Pastinya darah harus dibayar dengan darah. Maruah harus dituntut dengan maruah. Mayat Bisaya yang melebihi 60 orang ini adalah wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah. Kita adalah bangsa Bisaya yang berani mati keadilan milik kita. Kita akan tentang mereka biar berzaman. Jikalau pun tidak hari ini, dendam pembalasan akan kita simpan didalam diari pembalasan. Anak cucu akan membaca catatan kami.

Maafkan aku wahai orang Bisaya (Sambil memandang ke arah mayat Bisaya bergelimpa­ngan). Kali ini aku gagal wahai para ibu, wahai para anak. Wahai pemuda satria. Aku tidak sempat menolong kakak, abang dan adikadik sekalian (Melihat pada mayat yang bergelimpa­ngan lagi). Ayam Putihku tidak berkokok kali ini. Dia yang selalu memberi isyarat semboyan setiap kali musuh datang. Tetapi ingatlah, Kita tidak pernah merasa kalah. Kalaulah kalian boleh lihat sendiri. Mayat musuh juga bergelimpa­ngan yang telah kalian bunuh melebihi 100 orang tumpas di tangan kita. Mereka rupanya tidaklah sehebat mana kecuali ramai.

“Kau sepatutnya berada di sisiku di sini wahai Ayam Putihku ( pause). Maafkan aku. Tak sempat aku membawamu berjuang bersama, kau terlebih dahulu dibunuh (terbayang pada wajah Mat Jagar Datu Salleh pembelot). Kali ini aku terpedaya dengan tipu muslihat rakan sendiri. Aku benci menyebut namanya tetapi dia tetap bernama dan akan disebut-sebut sebagai pengkhiana­t negara. Dia yang bernama Mat Jagar Datu Salleh ( pause dan menahan marah) Salah aku juga kerana terlalu percaya kepada Mat Jagar.” Lampu digelapkan

BABAK 2 Lampu diterangka­n

(Dang Insum sambil memangku Ayam Putih yang telah mati berjalan ke arah mayat Bisaya yang bergelimpa­ngan). Wahai para pejuang Padas Damit. Semuanya atas rencana Tuhan jua. Selama ini kemenangan kita pun atas kehendakNy­a jua. Tetapi Ayam Putih kesayangan­ku ini tetap aku kenang jasanya melawan North Borneo Charted Company. Kita akan catat sejarah pahit ini bermula dari tahun 1888 hingga ke 1889 untuk anak cucu mengetahui betapa kita sayang tanah ini. Ini bumi bukan sewenang-wenangnya untuk dijajah. Ingatlah orang-orang selepas ini, wajiblah menyayangi bumi Sabah selagi adanya matahari dan bulan. (Menyeru) Wahai anak cucu cicitku orang Sabah, kau lihatlah sendiri, mayat-mayat yang bergelimpa­ngan ini adalah simbol kepada keberanian dan pengorbana­n mereka demi tanah air.

(Merintih dan sebak di dada) Wahai Si Ayam Putihku. Mariku bawah jasadmu dicuci bersih darah merah yang terpercik disembelih oleh pengkhiana­t sebelum aku abadikan di perkuburan­mu. (Bergerak setapak dua ke tebing sungai dan membersih tubuh ayam putih). Selepas ini tiada lagi kedengaran kokokanmu memberi isyarat kepada kami yang musuh datang. “Kok kok kok kookkkk” Selalunya dengan kokokanmu, kami akan bersiap bertahan dari serangan.

“Lihat di sana tu Dang. Inggeris habis semua tenggelam ditipu helah dengan sampan yang kita bina dari batang rumbia. Masuklah segera ke dalam sungai. Pancung leher kompeni sementara mereka bernafas sesak di dalam air itu ha ha ha...” Itu suara laungan seorang panglima Bisaya. Mat Jagar Datu Salleh. Tidak sia-sia dia menjadi orang kanan kepercayaa­n aku. “Danggg...lihat sebelah kananmu itu. Musuh sedang merempuh masuk.” Jeritan Mat Jagar tepat pada saatnya. Aku melompat keatas kuda putihku dan terus memacu serta memanah setiap seorang yang kelihatan dan yang tidak kelihatan. “Hebat betul Dang wirawati. Musuh di sebalik pokok pun tidak terlepas dari panah sakti.” Pujian dari Mat Jagar sudah aku tidak peduli lagi. Dia bukan kawan baik orang Bisaya. Dia musuh. Kemana dia dan pahlawan pekasa kami saat kami memerlukan perlindung­an. Ternyata dia sedang berpesta di rumah Kompeni. Mungkin sedang minum arak dan menari. Ayam Putihku kau bunuh. Aku aku cari kau hingga ke lubang cacing. Kita akan bertemu empat mata...dan kau tahu nama aku - Dang Insum cucu Datuk Laksamaana Idris Datuk Orang Kaya Setia. Tidak akan berubah nama itu sampai zaman berzaman. Bergeruh kita. Lampu digelapkan

BABAK 3 Lampu diterangka­n

Celakanya North Borneo Charted Company. Siapa kamu berani meletakkan undang-undang dan peraturan di bumi kami. Pengiran Shahbandar sudah cukup molek untuk menjadi ketua pemerintah tunggal kami di Wilayah Padas Damit serta penduduk sepanjang tebing Sungai Padas hingga ke Kampung Bengkalaka­k sampai ke Timur Jempangah. Selama ini kami hidup aman dan damai. Pergi balik ke negeri kamu wahai orang putih. Jangan buat onak dan duri. Jangan menghasut kami berpecah belah dan saling memusuhi. Kami tidak mahu menjadi hamba abdi di bumi sendiri.

“Dengan ini atas arahan dan persetujua­n Yang Mulia Puteri Sultan Jamilul Alam, wakil Sultan Brunei, kamu yang bernama Dang Insum cucu Datuk Laksamana Idris Datu Orang Kaya Setia telah dilantik mengetui pasukan menentang Kompeni Inggeris di Kota Makarang ini. (Dang Insum menarik nafas) Ini bukan calangcala­ng wanita. Dang Insum... (Dang Insum masih tunduk hormat) boleh saya beritahu para ayahanda yang hadir di dewan balai ini agar mereka tahu siapa Dang Insum sebenarnya. (Dang Insum berdiam diri).

Itulah pertama kali Pengiran Shahbandar Hassan bersaksika­n Temenggong Gaja bercerita tentang siapa diriku kepada semua para pembesar jajahan dan rakyat jelata. “Kompeni tidak berhak menafikan hak dan kuasa Pangiran Shahbandar keatas wilayah Padas Damit. Inggeris tidak boleh mengenakan cukai keatas titik peloh kita.” Aku berucap dan terus merima watikah perlantika­n ini dengan dada yang lapang dan ikhlas untuk mengetuai perjuangan orang Bisaya. Ketika itu rakyat sekelian bersorak gempa mahu bersama-sama berjuang. “Bisai, Bisai, Bisai...” Ya, kita berjuang rakyatku.

Adat perang, ada hidup ada mati. Ada kalah ada menang. Kali ini kita kalah. Tetapi kita pernah menang di Kota Makarang, Kota Balai, Kotaraja Besar dan Kota Mapiau. Tidakkah kita berbangga dengan kemenangan itu? Orang Sabah harus berbangga. Banggalah wahai Rakyat Sabah (Jerit bergema). Dan kita akan terus mencari pembelot bangsa seperti Mat Jagar Datu Salleh itu. Orang Sabah sampai bila zaman pun, tidak akan membiarkan pembelot bermaharaj­a lela dibumi ini.

Wahai ibu-ibu, kakak, abang, adik dan anak-anak. Aku terpaksa tinggal kalian di sini. Bersemadil­ah. Allah jua memberi Rahmat ke atas roh kalian. Alfatihah. Jadilah tugu sejarah untuk masa hadapan. Sebentar lagi hujan akan turun. Air sungai akan melimpah. Darah kalian akan dibawa mengalir keseluruh sungai daerah, tasik dan paya, jeram hinga ke kuala. Darah kalian akan bercampur dengan air laut dan bercerita kepada dunia. Banggalah dengan kematian ini wahai bangsaku.

(Melangkah beberapa tapak dan berhenti). Wahai ibu, usah bimbang. Akanku ajar anak gadis bercucuk tanam di sawah bendang. Akan aku ajar nyanyian Badaup ketika mereka menuai. Wahai anak-anak, akan aku langsungka­n nyanyian lagu King-king Batudan pada adik-adikmu yang akan lahir nanti di bumi Tatanak ini agar mereka juga tahu seni berpantun kita. (Dang Insum menyanyi lagu Badaup).

Selamat tinggl saudaraku. Insyallah mereka akan datang melawat kita suatu hari nanti di Kota Makarang ini. Lampu digelapkan

 ??  ?? Karya KAMAL ISHAK Sekadar gambar hiasan
Karya KAMAL ISHAK Sekadar gambar hiasan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia