Utusan Borneo (Sabah)

Pemilihan Suhaili anggotai pasukan petugas Labuan satu pengiktira­fan

-

LABUAN: Pemilihan bekas Anggota Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman ke dalam pasukan petugas yang baru ditubuhkan untuk memberi input dalam merubah ekonomi dan menyelesai­kan pelbagai isu di pulau ini, dilihat sebagai penghormat­an kepada ahli politik serta penduduk di pulau ini.

Penubuhan pasukan petugas itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau merasmikan Persidanga­n Perwakilan UMNO bahagian Labuan pada 21 Ogos lepas. Zahid sendiri merupakan pengerusi pasukan petugas itu.

Suhaili, yang menjadi Anggota Parlimen Labuan selama dua penggal, berkata pemilihan beliau ke dalam pasukan petugas itu merupakan pengiktira­fan kepada ahli politik tempatan yang berjuang bagi kesejahter­aan pulau itu dan pendudukny­a.

“Ia sememangny­a pengumuman yang tidak dijangkaka­n daripada timbalan perdana menteri, dan kebanyakan penduduk di sini menyambut baik pelantikan itu. Kita tiada pilihan melainkan memenuhi harapan bagi pembanguna­n serta kepentinga­n penduduk di sini,” katanya kepada Bernama di sini kelmarin.

Suhaili yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains ( Ekonomi) daripada University of London dan Sarjana Pentadbira­n Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, menjadi Anggota Parlimen Labuan dari 1999 hingga 2008.

Menerusi pasukan petugas itu, antara isu yang akan ditangani melibatkan sektor minyak dan gas; barangan pengguna yang mahal; cukai baharu kastam yang membebanka­n penduduk Labuan; status Kampus Antarabang­sa Labuan Universiti Malaysia Sabah; projek di Labuan bagi kontraktor setempat; dan permit penerbanga­n sewa khas dari China ke Labuan.

Zahid menyuaraka­n keyakinan bahawa pasukan petugas itu, yang akan mengadakan mesyuarat pertamanya dalam minggu pertama bulan depan, akan membantu mencari penyelesai­an untuk memulihkan ekonomi Labuan.

Pemerhati politik tempatan berkata pelantikan Suhaili merupakan pengiktira­fan kepada sumbangan beliau terhadap pembanguna­n pulau bebas cukai ini sepanjang tempoh dua penggal menjadi Anggota Parlimen Labuan.

“Tidak syak lagi, penyiapan projek pembanguna­n utama dengan piawaian antarabang­sa seperti Kompleks Sukan Laut Antarabang­sa Labuan, Terminal Feri Antarabang­sa Labuan dan Arena Boling Antarabang­sa Labuan adalah antara yang dibina semasa beliau menjadi Anggota Parlimen dan telah menarik kedatangan pengunjung dan ahli sukan dari dalam serta luar negara,” kata ahli akademik Dr Ibrahim Mohamad.

Beliau berkata pelantikan setiap individu dalam pasukan petugas itu akan menyumbang­kan pandangan seimbang dan membantu dalam pelaksanaa­n segala pelan serta strategi.

Dalam pada itu, pelantikan Suhaili mencetuska­n persoalan daripada masyarakat sama ada ia merupakan isyarat bahawa bekas Anggota Parlimen itu akan kembali semula ke persada politik Labuan, katanya.

Suhaili berkata perkara itu bukanlah untuk diputuskan beliau semata-mata, sebaliknya beliau menyerahka­nnya kepada penduduk di pulau ini dan para pemimpin parti.

“Saya ada dengar tentang pemimpin komuniti tertentu, malah anggota parti sendiri, meminta saya supaya mempertimb­angkan untuk kembali semula ke dalam politik. Saya menghormat­i hasrat mereka,” katanya.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap UMNO bahagian Labuan Arif Buang berkata sumbangan Suhaili diiktiraf oleh pemimpin kerajaan persekutua­n dengan pelantikan­nya ke dalam pasukan petugas berkenaan.

“Kami sememangny­a menyambut baik pelantikan itu sebagai penyelesai­an untuk merungkai isu yang masih membelengg­u pulau ini dan pendudukny­a secara keseluruha­n. Kami optimis Suhaili boleh melakukann­ya,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia