Utusan Borneo (Sabah)

15,000 motosikal berkuasa tinggi bakal gegar Port Dickson

-

SEREMBAN: Sebanyak 15,000 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei dan serantau Asia dijangka menyertai Festival Motosikal Antarabang­sa Port Dickson (PDIBF) 2016 di Mayang Sari Resort, Port Dickson selama tiga hari mulai 2 Sept ini.

PDIBF adalah acara tahunan anjuran Kelab Motosikal Daerah Seremban ( SDMC) dengan kerjasama Lembaga Pelanconga­n Negeri Sembilan (LPNS).

Presiden SDMC Azhar Abd Aziz berkata festival itu akan turut disertai beberapa syarikat korporat selain lebih 50 gerai jualan dan pameran pelbagai motosikal berkuasa tinggi, aksesori motosikal, pakaian, makanan dan barangan lain.

“Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembaha­n hiburan dari kugiran tempatan serta cabutan bertuah. Sempena Bulan Kebangsaan, aktiviti seperti nyanyian NegaraKu dan kibaran Jalur Gemilang semasa konvoi juga bakal dilaksanak­an.

“Pengunjung juga berpeluang mengunjung­i BMW Motorrad On Tour (dibawa oleh Wearnes Johor Baharu) di tapak utama sambil menunggang model motosikal terbaharu. Syarikat Allianz Insurance juga menyertai PDIBF kali ini sebagai penasihat pakej perlindung­an insurans motosikal khasnya,” katanya di sini, kelmarin.

Beliau yakin festival itu bukan sahaja bertujuan untuk beriadah serta mengeratka­n silaturahi­m sesama penunggang, malah mereka turut berkongsi dengan masyarakat mengenai amalan kesedaran keselamata­n di jalan raya.

Selain itu, katanya orang ramai berpeluang untuk memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal yang diubah suaian dengan pembelian ‘goodie bag’ berharga RM50.

“Goodie bag itu mengandung­i kemeja- T PDIBF, pelekat serta baucar cabutan bertuah. Sebanyak 5 peratus daripada kutipan ini akan disalurkan ke badan kebajikan di bawah program ‘Bikers Have Heart’,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar LPNS Baharudin Jali berkata PDIBF yang masuk tahun ke-14 dan yang ketiga di bawah anjuran SMDC adalah antara acara penting di dalam kalendar tahunan LPNS.

“Kami yakin dengan keindahan pantai Port Dickson dan susunan acara festival yang sangat menarik ini, ia bakal menarik lebih 20,000 pengunjung di tapak Mayang Sari Resort, Port Dickson, sepanjang tiga hari itu nanti,” katanya.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia