Utusan Borneo (Sabah)

Teratak Gemilang, terjemahan semangat cintakan negara

- Oleh NOORASVILL­A MUHAMMA

SANDAKAN: Merah, putih, biru dan kuning. Itulah warna yang terdapat pada Jalur Gemilang dan siapa sangka ada individu yang berminat untuk mengecat empat jenis warna itu pada bahagian luar rumah.

Mana- mana pemandu kenderaan yang melalui kawasan Batu 15, Jalan Labuk di Sandakan pasti akan menoleh beberapa kali ke arah sebuah rumah kayu di atas bukit yang dicat dengan warna Jalur Gemilang.

Pemilik rumah Haji Mohd Halikin Angga, 58, berkata idea untuk mengecat luar rumah dengan warna Jalur Gemilang itu timbul selepas beliau sekeluarga menghadiri sambutan Hari Kebangsaan pada 2003 yang ketika itu julung kali diadakan di Putrajaya.

“Pada ketika itu, kami dapat melihat suasana kemeriahan sambutan serta kibaran Jalur Gemilang di merata- rata tempat.

“Bermula dari situ, saya berniat untuk mengecat rumah mengikut warna Jalur Gemilang. Tetapi pada awalnya saya agak ragu- ragu juga dengan penerimaan orang ramai dan bercadang untuk mencuba bagi tempoh setahun.

“Selepas mengecat rumah pada 2004, nampaknya usaha ini mendapat sokongan dan galakan daripada rakan-rakan. Ramai yang cakap rumah saya cantik dan unik. Mereka juga menggalakk­an saya untuk meneruskan niat murni itu,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau yang menggelark­an rumah itu sebagai Teratak Gemilang, telah mengeluark­an modal sebanyak RM5,000 bagi kerja mengecat keseluruha­n luar rumah kira-kira 12 tahun lalu.

Meskipun tidak menetap sepenuhnya di rumah itu, namun Halikin sentiasa menitikber­atkan aspek penyelengg­araan terutama kualiti warna cat serta pemasangan bendera di sekitar kawasan rumah.

Kerja menjaga dan menyelengg­ara kawasan sekitar rumah itu dilakukan oleh beberapa ahli keluarga Halikin yang menetap di situ. Beliau juga rajin turun padang bagi meninjau sendiri keadaan rumah itu.

Menurut beliau, keunikan Teratak Gemilang itu turut mengundang kehadiran orang ramai termasuk dari luar Sandakan yang mengambil peluang untuk singgah serta mengabadik­an foto kenangan di hadapan rumah itu.

“Ramai yang suka singgah ke rumah ini semata-mata ingin melihat sendiri serta bergambar di hadapan rumah. Mereka gelar rumah ini dengan panggilan ‘rumah bendera’.

“Tetapi ramai yang tidak tahu sebenarnya di dalam rumah ini ada beberapa koleksi gambar dan poster pemimpin terdahulu,” jelasnya.

Keunikan rumah itu turut mendapat beberapa pengiktira­fan apabila berjaya memenangi kategori individu bagi Pertanding­an Keceriaan Merdeka Peringkat Negeri Sabah pada 2011, 2012 dan 2013.

Halikin berharap kewujudan Teratak Gemilang itu sedikit sebanyak mampu membantu meningkatk­an semangat kenegaraan serta menanam jati diri khususnya dikalangan generasi muda.

“Anak- anak muda masa kini mudah terpengaru­h dengan anasir luar yang berniat memporak-perandakan negara. Oleh itu, saya berharap dengan kibaran Jalur Gemilang ini akan mampu mengukuhka­n rasa cintakan negara di dalam diri setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Semangat cintakan negara dalam diri Haji Halikin tidak hanya diterjemah­kan menerusi Teratak Gemilang sahaja, sebaliknya beliau turut menamakan tiga daripada tujuh orang anaknya dengan namanama tokoh negara terdahulu iaitu Mohd Mahathir, Abdullah Badawi dan Nur Zahirah. Beliau turut memiliki sebuah kenderaan yang menggunaka­n nombor plat 1957.

 ??  ?? HIASAN bendera Malaysia dan Sabah di sekeliling rumah dan pagar.
HIASAN bendera Malaysia dan Sabah di sekeliling rumah dan pagar.
 ??  ?? ANTARA koleksi gambar pemimpin terdahulu yang terdapat di dalam Teratak Gemilang.
ANTARA koleksi gambar pemimpin terdahulu yang terdapat di dalam Teratak Gemilang.
 ??  ?? TERATAK Gemilang yang terletak di kawasan Batu 15, Jalan Labuk Sandakan.
TERATAK Gemilang yang terletak di kawasan Batu 15, Jalan Labuk Sandakan.
 ??  ?? WISMA Perbandara­n adalah antara bangunan yang turut dihiasi dengan Jalur Gemilang.
WISMA Perbandara­n adalah antara bangunan yang turut dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia