Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki tidak mengaku salah rogol saudara

-

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas pertuduhan merogol saudaranya.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan pada 6 September tahun ini sebagai tarikh pengurusan kes terhadap tertuduh yang berusia 33 tahun, selepas mengaku tidak bersalah.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 18 tahun pada 22 Ogos lalu jam 6.30 pagi, di tanah perkuburan sebuah kampung, di Penampang.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwara­ya Hafizah Zahidah Abdul membantah tertuduh diberikan ikat jamin.

Menurutnya, kesalahan yang dilakukan tidak boleh ditawarkan ikat jamin dan mangsa yang merupakan saudara tertuduh mempunyai kemungkina­n akan diganggu.

Beliau juga memohon agar kes berkenaan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad.

Dalam pada itu, mahkamah memerintah­kan tertuduh terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Sementara itu, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga bulan, atas kesalahan imigresen.

Rahim Inding dikenakan denda terbabit selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Azreena Aziz.

Tertuduh didapati mengambil seorang pekerja lelaki warga asing berusia 28 tahun, yang tidak memiliki pas yang sah untuk berada di negeri ini.

Kesalahan itu dilakukan pada 1 Ogos tahun ini antara jam 10.25 pagi hingga jam 10.40 pagi, di sebuah restoran, di daerah Tenom.

Rahim didakwa mengikut Seksyen 55B ( 1) Akta Imigresen 1956/ 63 ( Akta 155), yang boleh dikenakan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000, atau penjara sehingga tempoh 12 bulan, atau kedua-duanya untuk setiap pekerja yang diambil.

Pendakwaan itu dikendalik­an oleh Pegawai Pendakwa Hamisah Hj Puteh dari Jabatan Imigresen.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia