Utusan Borneo (Sabah)

Bom kereta ragut 50 jiwa, jejas usaha damai di Mali

-

GAO: Serangan bom nekad yang menyasari kumpulan militia yang komited kepada usaha untuk memulihkan keamanan di Mali mengorbank­an kira-kira 50 orang kelmarin dan memberi tamparan baharu kepada usaha sekian lama untuk menstabilk­an bahagian utara negara yang bergolak.

Serangan bom kereta di Gao, bandar terbesar di wilayah tersebut, menyasari sebuah kem yang menempatka­n bekas pemberonta­k dan militia prokerajaa­n yang menandatan­gani satu perjanjian damai pada 2015 yang dimeterai dengan kerajaan.

Presiden Ibrahim Boubacar Keita mengarahka­n tempoh berkabung selama tiga hari bagi seluruh negara ekoran serangan itu, yang terburuk di negara itu sejak beberapa tahun yang lalu.

Kumpulan yang dianggotai pelampau jihad dari Algeria yang juga sekutu Al-Qaeda, Mokhtar Belmokhtar, mengaku bertanggun­gjawab, dalam satu kenyataan, bagi serangan bom nekad itu.

Kumpulan tersebut, yang bersekutu dengan kumpulan Al-Qaeda di Maghreb Islam ( AQIM), menyebut nama penyerang sebagai Abdelhadi al-Foulani, dalam satu kenyataan yang dipetik oleh badan pemantau SITE yang berpangkal­an di Amerika Syarikat serta agensi berita Mauritania, Al-Akhbar.

Menteri Pertahanan Abdoulaye Idrissa Maiga segera pergi ke Gao ekoran letupan berkenaan. Serangan itu berlaku ketika bekas pemberonta­k dari pergerakan CMA pimpinan Tuareg bersiap sedia untuk menyertai rondaan bersama anggota militia prokerajaa­n, di bawah terma perjanjian damai.

Bahagian utara Mali jatuh ke dalam tangan pemberonta­k pimpinan Tuareg dan kumpulan pelampau jihad yang dikaitkan dengan Al-Qaeda pada 2012. Kumpulan pelampau tersebut mengetepik­an pemberonta­k untuk memegang kuasa sepenuhnya.

Walaupun mereka pada amnya disingkirk­an dalam satu operasi tentera pimpinan Perancis pada Januari 2013, pelaksanaa­n perjanjian damai ternyata perlahan dan pemberonta­k masih aktif di beberapa kawasan yang besar di wilayah berkenaan.

Rondaan bersama, yang turut disertai anggota tetap tentera Mali, bertujuan untuk membantu dalam persiapan bagi menyusun semula angkatan tentera.

“Bilangan kematian setakat ini adalah 47, termasuk lima pengebom nekad, dan beberapa puluh orang cedera,” kerajaan menyebut dalam satu kenyataan.

Sumber tentera Mali memberitah­u AFP, 53 orang telah terkorban dan 110 cedera.

Misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) MINUSMA menyebut dalam satu kenyataan “puluhan kematian dan puluhan kecederaan dilaporkan di kalangan 600 individu yang dihoskan di kem berkenaan”.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia