Utusan Borneo (Sabah)

128 kanak-kanak hidap penyakit jantung terima tajaan NU Skin Malaysia

-

SERAMAI 128 pesakit jantung kanak-kanak di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini menerima tajaan kos pembedahan dan rawatan hasil kerjasama Yayasan IJN dan syarikat produk kecantikan, Nu Skin Malaysia (Nu Skin).

Pengerusi Dana Yayasan IJN Datin Julini Mohd Ali berkata Nu Skin Malaysia yang menjadi rakan kerjasama korporat IJN sejak 2008 telah menaja kira-kira RM1.92 juta bagi membiayai kos rawatan dan pembedahan pesakit jantung kanak-kanak.

“Setiap kos rawatan dan pembedahan dianggarka­n berjumlah RM30,000 dan Nu Skin menaja sebahagian kos rawatan dan pembedahan tersebut manakala selebihnya ditanggung Yayasan IJN dengan kerjasama beberapa syarikat korporat lain.

“Melalui rawatan dan pembedahan ini, hampir kesemua kanak-kanak pesakit jantung di IJN beransur pulih dan boleh menjalani aktiviti harian sama seperti kanak-kanak lain,” katanya ketika berucap pada majlis ‘Nu Skin Malaysia-IJN Foundation Wish List Project 2016’, di Kuala Lumpur.

Objektif kerjasama Nu Skin dan Yayasan IJN adalah bagi membantu membiayai kos rawatan atau pembedahan jantung pesakit kanak-kanak, kata Julini.

Beliau berkata sumbangan tajaan adalah daripada pengedar Nu Skin yang berjanji untuk menyalurka­n sebahagian peratusan daripada hasil jualan mereka kepada tabung bantuan pesakit.

Sementara itu, mengenai ‘Wish List Project’ pula, beliau berkata ia sebahagian daripada tanggungja­wab sosial korporat di bawah kendalian Nu Skin Malaysia dengan kerjasama Yayasan IJN.

“Wish List Project ini diadakan untuk memenuhi permintaan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan merealisas­ikan dalam bentuk pemberian hadiah seperti alat permainan, pakaian dan peralatan sukan,” katanya.

Julini berkata sebanyak 300 kad ‘Wish List’ (senarai permintaan yang diidamkan) telah diedarkan kepada pesakit kanak-kanak di wad dan juga pesakit tajaan Nu Skin Malaysia.

“Kanak-kanak berkenaan diberi peluang untuk menyatakan apakah hadiah yang mereka inginkan, seterusnya pihak Nu Skin dan pengedarny­a akan cuba menunaikan hasrat kanakkanak itu,” katanya.

Yayasan IJN merupakan sebuah badan amal yang menjalanka­n pelbagai aktiviti pengumpula­n dana bagi membantu kos pembedahan atau rawatan bagi pesakit yang memerlukan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia