Utusan Borneo (Sabah)

Gempa bumi kuat gegar Kepulauan Solomon

-

SYDNEY: Gempa bumi dengan kekuatan 6.8 magnitud melanda di luar Kepulauan Solomon semalam, menurut ahli seismologi, dengan pihak berkuasa di negara Pasifik menyatakan tidak ada laporan awal mengenai kerosakan.

US Geological Survey (USGS) melaporkan gempa bumi berlaku pada jam 10.04 pagi waktu tempatan pada kedalaman 33 kilometer, kirakira 70 kilometer di barat Kirakira – wilayah yang sama di mana beberapa gegaran besar melanda pada bulan lepas.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpusat di Hawaii menyatakan tidak ada ancaman tsunami akibat gegaran terbaharu.

Tiga gegaran kuat telah dirasai di luar Kirakira pada Disember lepas tanpa menyebabka­n kerosakan serius.

Pejabat Pengurusan Bencana Negara Solomon (NDMO) menyatakan ia tidak menerima sebarang laporan kerosakan dari kawasan terpencil.

“Kami masih belum menerima sebarang maklumat lagi,” pengarah NDMO Loti Yates memberitah­u AFP dari ibu negara Honiara.

“Ia adalah di kawasan yang sama ketika gegaran pada bulan lepas dan terdapat retakan besar pada tanah. Ditambah lagi dengan hujan lebat, yang boleh menyebabka­n tanah runtuh namun ia masih terlalu awal untuk menyatakan pada peringkat ini.”

Kepulauan Solomon adalah sebahagian dari “Lingkaran Api” Pasifik, sebuah zon bagi aktiviti tektonik terkenal dengan gempa bumi dan letusan gunung berapi yang kerap berlaku.

Pada 2007 gempa bumi dengan kekuatan 8.0 magnitud di Pulau Solomon telah meragut 52 nyawa dan menyebabka­n ribuan orang kehilangan tempat tinggal apabila ia menghasilk­an tsunami setinggi 10 meter. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia