Utusan Borneo (Sabah)

Penoreh getah hilang dikhuatiri diserang buaya

-

KUCHING: Seorang penoreh getah dilapor hilang dan dipercayai menjadi mangsa serangan buaya selepas gagal pulang ke rumah di Rumah Jengin Sari Kejemut Skrang Ili Lidong sekitar jam 2 petang pada Khamis.

Warga emas dikenali sebagai Aji Injau berusia 70 tahun itu dipercayai diserang buaya di sungai berhampira­n rumah panjang kediamanny­a.

Perahu mangsa ditemui hanyut tanpa pendayung manakala parang panjang tanpa sarung masih terletak dalam perahu.

Kaunselor Nyambong Maweng ketika dihubungi berkata, kejadian mungkin berlaku pada jam 2 petang berdasar rutin mangsa pulang menoreh getah.

“Sebelum kejadian mangsa ada memaklumka­n kepada isterinya perahunya sering dihampiri seekor buaya besar. Ia bukan sekali malah dikatakan tiga hari berturut- turut sebelum kejadian itu,” katanya.

Jelas Nyambong, mangsa diingatkan supaya berwaspada namun tetap meneruskan rutinnya menorah getah terletak di seberang sungai rumah panjang mereka.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan penduduk melihat reptilia ganas itu di Sungai Kejemut.

Tambah Nyambong, ini insiden kedua serangan buaya ganas yang berakhir dengan kematian melibatkan penduduk rumah panjang Jengin awal tahun lepas.

“Ketika kejadian mangsa berrusia 30 an juga anak tuai rumah dan masih bujang sedang mandi apabila diserang sekitar jam 6 petang.

“Mayatnya bagaimanap­un berjaya dijumpai pasukan mencari dan menyelamat beberapa hari kemudian dengan terdapat kesan gigitan buaya pada paha, kaki dan rusuk,” katanya.

Sementara itu, ketika berita ini ditulis, usaha mengesan mangsa membabitka­n polis, Jabatan Pertahanan Awam ( JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dibantu penduduk kampung sedang dijalankan.

Beliau turut menyampaik­an derma kepada keluarga mangsa yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia