Mahkamah bergerak mudahkan urusan masyarakat Orang Asli
SEMENYIH: Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor menyelesaikan kira-kira 40 kes berkaitan syariah melibatkan Orang Asli di sekitar Hulu Langat melalui program ‘mahkamah bergerak’ tahun lepas.
Ketua Hakim Syarie Selangor Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat berkenaan, yang sebelum ini terpaksa berulang-alik ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di Bangi.
Katanya, urusan seperti permohonan wali hakim atau perkahwinan bawah umur memerlukan mereka datang ke mahkamah untuk mendapatkan kebenaran hakim dengan keperluan memfailkan permohonan, dan ini antara lain memerlukan kos pengangkutan.
“Disebabkan kesukaran itu, ada Orang Asli beragama Islam memilih untuk berkahwin mengikut adat dan bukannya mengikut proses hukum syarak,” katanya kepada pemberita pada program itu di Kampung Orang Asli Sungai Lalang di sini kelmarin.
Bagi memudahkan proses tersebut, pihak mahkamah sendiri turun padang termasuk hakim syarie bagi membantu mereka menyelesaikan urusan permohonan, perbicaraan dan akad nikah, kata Mohd Na’im.
Perkhidmatan itu dilaksana dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Kemajuan Orang Asli.
Menurutnya, perkhidmatan mahkamah bergerak dicadang diperluas ke lokasi seperti hospital, pusat tahanan dan juga bagi golongan Orang Kurang Upaya.
Beliau turut memperkenalkan prototaip baharu Kit Mahkamah Bergerak ( MCK) yang berfungsi sebagai meja perbicaraan bagi memberi keselesaan ketika perbicaraan dijalankan. -Bernama