Utusan Borneo (Sabah)

Pasukan APM Laut beroperasi di Sarawak dan Sabah awal tahun ini

-

MIRI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan melancarka­n Pasukan APM Laut pada awal tahun ini bagi membantu mengawal keselamata­n perairan serta operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Pesuruhjay­a APM Mejar Jeneral ( B) Datuk Azmy Yahya berkata, APM tidak akan menjadi badan penguat kuasa namun akan bertindak melapor kepada agensi penguat kuasa yang lain seperti Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia ( APMM) jika ada aktiviti yang mencurigak­an berlaku di pesisiran dan perairan negara.

“APM Laut akan bertindak sebagai pasukan pertama memberikan bantuan sekiranya berlaku kecemasan di perairan sebelum agensi lain sampai,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Azmy berkata, buat permulaan 1,000 anggota pasukan APM laut terdiri daripada nelayan pesisiran pantai telah diberi pelbagai latihan termasuk latihan kecemasan dan misi mencari dan menyelamat.

“Kita akan lancar pasukan APM Laut dalam masa terdekat,” katanya sambil menambah di Miri sebanyak 250 orang telah diberi latihan menjadi pasukan APM Laut.

Terdahulu Azmy menerima dua buah kapal daripada APMM yang diserahkan oleh Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Dua buah kapal tersebut yang berukuran 22 meter panjang dan 6.8 meter lebar dan mampu mencapai kelajuan sehingga lapan knot dan membawa 10 kru kapal, merupakan kapal yang dirampas daripada nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Sementara itu dalam perkembang­an berkaitan, Ahmad berkata, APMM bersedia menawarkan 13 buah kapal nelayan asing yang dirampas untuk kegunaan APM Laut.

Ahmad berkata, setakat ini APMM telah melupuskan 926 kapal nelayan asing yang dirampas atas kesalahan menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa permit.

Beliau berkata, ada sebahagian daripada kapal tersebut telah dilupuskan melalui kaedah lelongan dengan jumlah lelongan bernilai RM280 juta berjaya dikutip setakat ini, ada digunakan untuk tujuan tukun tiruan bagi pemulihara­an alam sekitar dan ada diberi kepada agensi-agensi yang memerlukan seperti APM. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia