Utusan Borneo (Sabah)

Malaysia perlu segera wujudkan senarai pesalah laku seksual

-

JOHOR BAHRU: Malaysia perlu segera mewujudkan senarai pesalah laku seksual serta akta berkaitan bagi mencegah dan melindungi masyarakat daripada serangan jenayah berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia membolehka­n masyarakat menyemak senarai tersebut serta berjaga-jaga sekiranya pesalah laku seksual tinggal di kawasan perumahan mereka.

Beliau berkata senarai itu akan diletakkan di bawah tanggungja­wab Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana keupayaan agensi itu untuk mengawasi dan melakukan siasatan berhubung jenayah tersebut.

“Senarai pesalah laku seksual ini telah diamalkan di negara- negara barat, jadi penyerang seksual akan didaftarka­n dan akan disebarkan kepada umum,” katanya kepada pemberita selepas majlis menyalakan lampu sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jalan Tan Hiok Nee di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan seorang rakyat Malaysia yang mungkin akan pulang ke negara ini selepas selesai menjalani hukuman penjara selama 24 tahun di Kanada.

Lelaki terbabit yang dipenjara pada 1992 atas kesalahan serangan seksual, dadah serta kesalahan lain dilapor akhbar negara itu, dijangka selesai menjalani hukuman pada hujung bulan ini.

Nur Jazlan yang juga Anggota Parlimen Pulai bagaimanap­un berkata Malaysia belum dimaklumka­n secara rasmi oleh pihak berkuasa Kanada berhubung perkara itu.

“Tetapi kita tahu sebab sudah keluar kenyataan di akhbar di Kanada. Kita belum dimaklumka­n secara rasmi,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia