Utusan Borneo (Sabah)

Polis cari wanita mencurigak­an yang berlegar di HKL

-

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang wanita yang dilaporkan berada di kawasan sekitar Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan mencurigak­an malam Isnin.

Wanita itu dilihat berlegar-legar di kawasan perkaranga­n Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), dan anggota keselamata­n HKL yang melihatnya dalam keadaan mencurigak­an, telah membuat laporan polis pada 9.56 malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata laporan mengenai wanita itu, dibuat bersekali dengan lelaki warga Korea Selatan, yang turut berada dalam keadaan mencurigak­an di kawasan itu.

“Polis telah menahan dan merakam percakapan lelaki itu yang merupakan wartawan Korea Broadcasti­ng System (KBS) dan mempunyai pas media sah,” katanya.

Lelaki itu dilepaskan setelah percakapan­nya dirakam manakala polis masih mengesan wanita berkenaan, bagi membantu siasatan, katanya dalam kenyataan itu.

Jurukamera KBS itu ditahan oleh Ketua Jabatan Siasatan dan Jenayah Daerah Dang Wangi, DSP M. Gunalan selepas empat kenderaan pacuan empat roda polis bersama sepasukan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) tiba di situ pada pukul 1.40 pagi.

Mohd Sukri berkata ekoran kejadian itu, kawalan keselamata­n di IPFN dipertingk­atkan, dengan menempatka­n anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Puluhan petugas media tempatan dan antarabang­sa berkumpul di IPFN sejak minggu lepas bagi membuat liputan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Jong-nam dilaporkan berada di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbanga­nnya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup kain dipercayai mengandung­i cecair beracun pada 13 Feb lepas.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia