Utusan Borneo (Sabah)

Keluarga bingung bagaimana Siti Aishah boleh berada di M’sia

-

SERANG, (Bantem, Indonesia): Keluarga Siti Aishah, suspek wanita dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, hairan bagaimana anak bongsu mereka boleh berada di Malaysia.

Malah, setahu mereka, wanita berusia 25 tahun itu hanya bekerja sebagai jurujual pakaian di Batam.

Ayah wanita itu, Asria Nur Hasan, 56, berkata seluruh kaum keluargany­a masih kebingunan dan tidak tahu berbuat apa-apa kecuali menangis bagaimana Siti Aishah boleh merantau ke Malaysia tanpa pengetahua­n keluarga.

Katanya, anaknya telah berhijrah ke Batam untuk bekerja sebagai jurujual pada 2012 selepas bercerai dengan suaminya, Gunawan Hasyim @ Ajun, seorang ahli perniagaan dan mempunyai seorang anak lelaki, Rio, berusia tujuh tahun.

“Sejak dia berhijrah ke Batam, kami jarang jumpa dan kali terakhir dia pulang ialah pada Tahun Baharu Cina, bulan lepas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rancasumur, Sindangsar­i Pabuaran, Serang, di sini.

“Dia hanya beritahu bekerja sebagai jurujual jadi kami terkejut apabila dia telah melangkah jauh ke Malaysia,” katanya.

“Siang malam kami asyik menangis mengenang nasib anak bongsu kami dan saya sangat-sangat ingin bertemu dengan dia,” kata Asria.

Siti Aishah adalah antara empat suspek ditahan oleh polis Malaysia bagi membantu siasatan kes pembunuhan Jong-nam pada 13 Feb lepas.

Pada hari kejadian, Jongnam berada di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) sementara menunggu penerbanga­nnya ke Macau apabila seorang wanita menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandung­i cecair beracun.

Beliau yang dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb menggunaka­n nama Kim Chol dalam pasportnya, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas mengadu kurang sihat kepada petugas di lapangan terbang itu dan diberi rawatan awal di klinik di situ.

Siti Aishah adalah anak bongsu daripada tiga beradik - dua abangnya hanya bekerja sebagai buruh dan dibesarkan di sebuah kawasan terpencil manakala kehidupan ibu bapanya bergantung kepada jualan ubi dan kunyit.

Asria berkata anak perempuann­ya itu tidak berpelajar­an tinggi tetapi dia seorang yang rajin bekerja dan nekad untuk keluar dari belenggu kemiskinan sejak kecil lagi.

“Walaupun hidup dalam kemiskinan, Siti Aishah seorang yang rajin bekerja, bersikap manja dan tidak pernah nakal,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia