Utusan Borneo (Sabah)

Jabatan Imigresen mahu penunggang motosikal ke Singapura berdisipli­n

-

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen menggesa penunggang motosikal ke Singapura menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) supaya menjaga tingkah laku serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Ini berikutan tindakan beberapa penunggang motosikal yang merempuh dan merosakkan lapan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) pada Isnin hingga menyebabka­n kesesakan lalu lintas di BSI.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata M-BIKE yang baru diperkenal­kan pada 15 Feb lepas masih lagi asing kepada penunggang motosikal dan berharap mereka dapat bersabar.

“Kenapa kalau di Singapura, penggunape­ngguna ini boleh mematuhi undang-undang tetapi bertindak sebaliknya di dalam negara kita. Kalau di seberang sana, pengguna terpaksa mematikan enjin motosikal dan menolak kenderaan mereka, sesiapa yang membunyika­n hon juga akan didenda.

“Kita mahu mendidik masyarakat terutamany­a pengguna motosikal ini supaya mematuhi undang-undang kerana sistem MBIKE adalah satu daripada cara kita melindungi kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di KSAB, Gelang Patah, di sini kelmarin.

Mustafar bagaimanap­un, mengakui masih terdapat beberapa penambahba­ikan yang perlu dilihat Jabatan Imigresen dalam memastikan kelancaran di kedua-dua pintu masuk negara itu.

“Pagi tadi (kelmarin) kami membuat tinjauan di kedua-dua pintu masuk bermula seawal 5 pagi dan mendapati memang sistem ini telah mengakibat­kan kesesakan, namun, sistem sebelum ini pula mempunyai banyak ruang kelemahan sehingga berlakunya pembolosan.

“Satu daripada punca yang kita kenal pasti adalah kelewatan palang terbuka selepas pengguna selesai mengimbas pasport mereka. M-BIKE adalah jalan keluar untuk mengelakka­n pembolosan daripada terus berlarutan, ini yang pengguna perlu faham,” jelasnya.

Tambah beliau, pihaknya sudah berhubung dengan pihak pembekal bagi menangani masalah berkenaan secepat mungkin.

Menurut Mustafar, Jabatan Imigresen sudah membuka maksimum semua kaunter laluan M-BIKE iaitu 50 kaunter masuk dan keluar di KSAB manakala 100 kaunter keluar masuk di BSI yang mampu menampung jumlah lebih 90,000 pengguna motosikal sehari.

“Dari segi jumlah kaunter yang dibuka, kita perlu melihat struktur bangunan dan buat masa ini, inilah jumlah kaunter yang mampu disediakan dan sekiranya ada penambahan ia akan bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh Jabatan Imigren,” katanya.

Beliau turut memaklumka­n pihaknya bekerjasam­a dengan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna.

M-BIKE merupakan inisiatif terbaharu kerajaan untuk menambah baik kawalan keselamata­n di pintu masuk negara serta situasi trafik di BSI dan KSAB.

Pengguna motosikal disaran untuk mendaftar di Pusat Sehenti (OSC) yang beroperasi 24 jam setiap hari di BSI dan KSAB bagi memastikan mereka dapat menggunaka­n kemudahan berkenaan.

Syarat pendaftara­n M-BIKE adalah ia percuma kepada semua warganegar­a Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan memiliki pasport Malaysia antarabang­sa yang sah dengan tempoh laku minima enam bulan.

Pemeriksaa­n dokumen akan mengambil masa lapan hingga 10 saat sahaja bagi setiap individu membabitka­n pemeriksaa­n biometrik (cap jari) dan imbasan pasport.- Bernama

 ??  ?? LORONG ke kaunter Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) dari Malaysia ke Singapura menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar sesak dengan penunggang motosikal di Gelang Patah.
LORONG ke kaunter Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) dari Malaysia ke Singapura menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar sesak dengan penunggang motosikal di Gelang Patah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia