Pendidikan tiket penting ubah kehidupan: Zakaria
SANDAKAN: Pendidikan merupakan tiket penting dalam mengubah kehidupan, kata Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Zakaria Haji Mohd Edris.
Beliau berkata pendidikan dan pembelajaran berterusan di setiap peringkat sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi dapat membuka peluang pekerjaan yang cerah.
Justeru, beliau mengingatkan ibu bapa agar tidak menjadikan kepayahan hidup sebagai alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah.
Sebaliknya, kebijaksanaan ibu bapa dalam menyusun dan merancang masa depan anakanak agar lebih bersesuaian dengan perubahan masa dilihat mampu mengurangkan kegagalan.
“Perhatikan kepada insan yang cemerlang dalam kehidupan. Mereka tidak pernah memperkatakan tentang kegagalan, bahkan sentiasa merancang kegiatan yang dapat mendorong ke arah mencapai cita-cita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Lawatan Pemantauan Bantuan Pakaian Seragam dan Kasut di bawah Bantuan Perkhidmatan Sosial Sumbangan Kerajaan Negeri Sabah ke Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan di Sandakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Manis, di sini, kelmarin.
Pada program itu, beliau telah menyampaikan bantuan pakaian seragam kepada 227 murid selain 119 murid yang menerima Bantuan Awal Persekolahan.
Mengenai program itu, Za- karia berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap nasib golongan yang tidak berkemampuan serta berkeperluan dalam memenuhi hasrat pembangunan negara.
Jelasnya, kerajaan juga sedar terdapat sebilangan masyarakat yang kurang berkemampuan untuk menyediakan kemudahan kepada anak-anak untuk ke sekolah. Ia ditambah pula dengan peningkatan kos sara hidup sejak akhir-akhir ini.
Bagaimanapun, perkara itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk ibu bapa mengabaikan pendidikan anak-anak.
Untuk rekod, seramai 26,765 murid di 66 sekolah rendah di daerah ini telah mendapat manfaat daripada Bantuan Program Perkhidmatan Sosial Sumbangan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun ini.