Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki Bangladesh mengaku salah rasuah polis

-

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki rakyat Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang anggota polis, Disember lepas.

Md Rintu Molla, 32, dituduh memberi suapan wang tunai RM200 kepada Lans Koperal Ainuddin Aliff Samsudin sebagai dorongan supaya melepaskan motosikal jenis Honda miliknya yang ditahan polis.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Balai Polis Plentong, di sini, kira-kira 12.40 tengah hari, 13 Dis lepas.

Tertuduh yang memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen Saba’aton Daud, dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dibacakan mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Dia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut manamana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang lelaki rakyat tempatan turut mengaku bersalah di mahkamah sama atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai kastam, minggu lepas.

T. Ganasan, 35, dituduh secara niat bersama seorang warga Nepal memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Penolong Penguasa Kastam Nurul Izzaty Muhammad yang bertugas di Jabatan Kastam Diraja Malaysia Batu Pahat untuk tidak dikenakan tindakan kerana disyaki menjual arak tanpa lesen.

Ganasan dituduh melakukan perbuatan terbabit di sebuah premis di Jalan Soga, Batu Pahat, kira-kira 7.30 malam, 15 Feb lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama.

Pendakwaan terhadap Md Rintu Molla dan Ganasan dikendalik­an Pegawai Pendakwa SPRM Norsyarina Raizan.

Mahkamah menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes dan keputusan hukuman berikutan ketiadaan hakim, kelmarin.

Mahkamah turut mengarahka­n jurubahasa disediakan bagi memudahkan prosiding kedua-dua kes berkenaan.- Bernama

 ??  ?? MD RINTU
MD RINTU
 ??  ?? GANASAN
GANASAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia