Utusan Borneo (Sabah)

Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara seorang daripada suspek yang diburu

-

KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua suspek yang diburu polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam pada Isnin lepas, dikenal pasti sebagai Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Beliau dikenali sebagai Hyon Kwang-song, 44, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Katanya seorang lagi suspek yang diburu polis ialah pekerja syarikat penerbanga­n Korea Utara (Koryo Air), yang dikenali sebagai Kim Uk-il, 37, dan kedua-dua suspek itu dipercayai masih berada di negara ini.

“Saya telah meminta kedua-dua mereka untuk tampil membantu siasatan kes berkenaan.

“Sekiranya mereka enggan tampil membantu siasatan, polis akan mengeluark­an waran tangkap kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini.

Mengenai suspek ketiga iaitu Ri Ji-u, 30 atau dikenali sebagai James, Khalid berkata pihaknya belum mengenal pasti pekerjaan suspek dan perkara itu sedang dalam siasatan.

“Saya percaya ketiga-tiga mereka masih berada dalam negara ini dan kami akan memburu mereka,” katanya.

Diminta mengulas mengenai perkembang­an empat suspek Korea Utara yang melarikan diri pada hari kejadian sama ada kesemua mereka adalah dalang utama kes itu, Khalid berkata setakat ini siasatan tidak dapat mengenal pasti mereka sebagai dalang namun polis percaya mereka terlibat secara aktif dalam kes pembunuhan berkenaan.

“Saya menerima laporan bahawa kesemua mereka telah kembali pulang ke Pyongyang selepas kejadian itu.

“Oleh itu, polis akan meminta kerjasama daripada pihak berkuasa Korea Utara untuk menyerahka­n keempat-empat suspek berkenaan yang telah pulang semula ke negara itu bagi proses siasatan,” katanya.

Khalid berkata pihak berkuasa negara itu perlu memberi kerjasama dan membenarka­n polis menjalanka­n soal siasat terhadap kesemua suspek supaya siasatan kes ini dapat dilengkapk­an.

Pada13Feb,Jong-nam,abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dilaporkan berada di KLIA2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbanga­n ke Macau apabila dua wanita dikatakan menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang menggunaka­n nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia