Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan negeri Melaka tunggu ujian kedua siasat kes rotavirus

-

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka membuat ujian makmal kedua bagi menyiasat dakwaan terdapat kes Rotavirus di negeri ini seperti yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata sampel kedua air pancut yang diambil di Dataran 1Malaysia di Klebang dihantar ke makmal Kementeria­n Kesihatan di Kuala Lumpur dan keputusan ujian akan dapat diketahui dalam tempoh tujuh hari.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mendapati ujian pertama sampel air pancut itu bebas daripada kehadiran sebarang virus yang boleh menjejaska­n kesihatan orang ramai.

“Kita telah dan sedang menjalanka­n siasatan dan mendapati bahawa tiada virus kencing tikus sepertiman­a yang didakwa oleh orang ramai menerusi tular di media sosial baru-baru in,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Komuniti 2016 dekat sini malam Rabu.

Ismail berkata sebelum kes ini berlaku, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah meletakkan tanda larangan untuk mandi di lokasi berkenaan namun ianya mungkin tidak diendahkan oleh orang ramai terutamany­a kanak-kanak.

Beliau berkata pegawai penguat kuasa PBT telah diarahkan untuk memantau keadaan di Dataran 1Malaysia di Klebang dan operasi air pancut telah dihentikan buat sementara sehingga siasatan selesai.

“Selepas selesai proses siasatan, kita akan membuat kajian bagi mengatasi masalah ini sama ada akan mengambil tindakan untuk memasang papan tanda larangan mandi dengan lebih jelas ataupun memasang dinding di kolam air pancut bagi mengelak orang ramai masuk untuk mandi,” katanya.

Sebelum ini, terdapat dakwaan ramai kanak-kanak yang bermain air pancut di Dataran 1Malaysia Klebang dijangkiti Rotavirus dan mendapatka­n rawatan di Hospital Melaka, sehingga menjadi tular di media sosial.

Terdahulu, Ismail menyampaik­an anugerah kepada 59 agensi dan syarikat yang memenangi sembilan anugerah pada majlis anugerah berkenaan.

Antara kategori yang dipertandi­ngkan ialah anugerah pembayar cukai terbaik, penyumbang tertinggi, komuniti sihat, komuniti aktif, media aktif, gerai terbaik, komuniti rendah karbon dan anugerah khas.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) antara 15 media yang menerima anugerah media aktif bagi kategori media cetak.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia