Utusan Borneo (Sabah)

Bidang seni bukan hanya untuk kejar populariti

-

JANGAN jadikan bidang seni sebagai batu loncatan untuk seseorang menempa nama mahupun mengejar glamor.

Demikian nasihat penyanyi veteran Datin Paduka Julie Sudiro kepada golongan muda yang ingin terlibat dalam bidang seni, baik seni nyanyian atau lakonan.

Golongan ini yang ingin berkecimpu­ng dalam bidang seni perlu menjadikan­nya sebagai ruang untuk mengetenga­hkan bakat dan tidak melihat kepada aspek populariti semata-mata, kata beliau.

Julie, atau nama sebenarnya Juariah Radin, 72, melontarka­n nasihat tersebut pada program wacana seni ‘Julie Sudiro’ di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Kuala Selangor, baru-baru ini.

“Menjadi anak seni tidak kira sebagai pelakon atau penyanyi harus punya bakat di samping minat yang mendalam terhadap bidang ini,” kata penyanyi terkenal pada era 60-an dan 70-an itu.

Beliau turut mengingatk­an golongan muda terutama penuntut di institusi pengajian tinggi supaya menggali sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman supaya dapat mengangkat martabat mereka dalam industri seni.

Ini secara tidak langsung akan menjadikan mereka insan seni yang dihormati dalam kalangan peminat seni seperti mana penyanyi terdahulu - Biduanita Allahyarha­m Puan Sri Saloma, Allahyarha­m Datin Rafeah Buang dan Sanisah Huri.

“Saya mahu pelajar ambil sisi positif penyanyi terdahulu bagaimana sukarnya mereka dan juga saya untuk bergelar anak seni.

“Hingga kerana minat dan mahu bergelar penyanyi, ada antara kami yang sedia mula menyanyi di kelab-kelab malam.

“Dari situ kami timba pengalaman selain ia mengajar kami bagaimana mahu menyanyi dengan baik.

“Mungkin pelajar pada hari ini beruntung kerana mempunyai guru yang boleh mengajar, namun bagi saya itu bukan alasan untuk mereka tidak menggali ilmu dan pengalaman,” kata Julie.

Ketika zaman kegemilang­annya nama dan lagu-lagu beliau cukup popular dan terkenal di Nusantara terutama di Malaysia dan Singapura.

Antaranya ‘Lambaian Kanda’, ‘Seruling Malam’, ‘Bunga Sakti’, ‘Apa Khabar’, ‘Miang Keladi’ dan ‘Gambar Kenangan’.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM Ahmad Kamal Basyah Sallehuddi­n berkata program tersebut bertujuan mendedahka­n penuntut fakulti berkenaan kepada insan seni yang disifatkan sebagai tokoh dan legenda di mata masyarakat.

“Saya mahu pelajar menjadikan Datin Paduka (Julie Sudiro) sebagai inspirasi mereka untuk berjaya... menjadikan insan seni yang disifatkan legenda ini sebagai panduan untuk mereka mencapai impian,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia