Utusan Borneo (Sabah)

TUDM nafi tular dakwaan pesawat Hawk 108 bermasalah

-

KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kelmarin menafikan khabar angin yang tular mendakwa pesawat Hawk 108 yang terhempas di Chukai, Kemaman, Terengganu, Khamis lepas, diketahui bermasalah.

Markas Tentera Udara dalam kenyataan kelmarin berkata pesawat itu telah melalui proses penerbanga­n pemeriksaa­n pasca senggaraan dua hari sebelum kejadian nahas tersebut.

“TUDM tidak akan berkomprom­i tentang keselamata­n dan ‘airworthin­ess’ (layak terbang) pesawat serta sentiasa menekankan tahap tertinggi dalam penyelengg­araan pesawat di bawah kawalan TUDM,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, TUDM telah menemui beberapa serpihan pesawat Hawk 108 termasuk kedua-dua kerusi anjal dalam operasi berhampira­n Kampung Yak Yah, Chukai.

Katanya, operasi mencari serpihan pesawat selebihnya akan diteruskan dalam usaha TUDM untuk melengkapk­an siasatan bagi menentukan punca kejadian.

Kenyataan itu turut menyebut, pasukan TUDM mengalami kesukaran dalam operasi terbabit berikutan keadaan muka bumi dan tanah yang lembut serta berpaya di tapak kejadian.

Bagaimanap­un, TUDM telah mendapatka­n bantuan daripada beberapa agensi bagi melancarka­n usaha pencarian dan pengumpula­n serpihan termasuk Tentera Darat Malaysia, Rejimen Askar Jurutera Diraja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidik­an Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE).

Tragedi pesawat terhempas pada Khamis lepas mengorbank­an dua juruterban­g TUDM, Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Pesawat malang berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada jam 11 pagi hari tersebut dan terputus hubungan setengah jam kemudian sebelum mayat kedua-dua mangsa ditemui pada jam 2.30 petang di hutan paya kampung berkenaan. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia