Utusan Borneo (Sabah)

Lelaki didakwa edar dan miliki ganja dibicara 7-10 Ogos depan

-

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini kelmarin menetapkan pada 7 hingga 10 Ogos tahun ini sebagai tarikh perbicaraa­n terhadap seorang lelaki yang didakwa atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki ganja.

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Noel Harry Hugan, 27, yang diwakili peguam Dato’ Rakhbir Singh.

Pertama, tertuduh didakwa mengedar ganja seberat 2,816 gram pada 10 Mei tahun lalu jam 5.40 petang, dekat kawasan tandas Pos Laju Kota Kinabalu, di sini.

Atas pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntuk­kan sekiranya disabitkan bersalah, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Kedua, pada hari sama jam 8 pagi di sebuah rumah dua tingkat, Kampung Tahib, Papason, Jalan Putatan, tertuduh memiliki ganja seberat 51.20 gram.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama.

Ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) akta sama, kerana mengedar ganja seberat 3,768 gram, pada 11 Mei tahun lalu jam 10.45 pagi, di Kargo AirAsia, Lapangan Terbang Antarabang­sa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini. Mahkamah memerintah­kan Noel yang bekerja sebagai tukang masak terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah sehingga kes selesai.

Timbalan Pendakwara­ya Gan Peng Kun bertindak untuk pendakwaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia