Utusan Borneo (Sabah)

72 peladang MADA terima wang pampasan

-

ALOR SETAR: Seramai 72 peladang di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima wang pampasan berjumlah RM94,582 berikutan tanaman padi rosak akibat banjir.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata kerosakan tanaman padi itu berlaku akibat ditelengge­lami air kesan daripada kerja-kerja yang dilaksanak­an untuk Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah dan Anak Bukit.

Katanya, seluas 107.971 hektar tanaman padi yang terjejas pada Jun tahun lepas melibatkan kawasan di Kampung Lemping, Kampung Kubang Pangas dan Kampung Keloncor yang terletak di pinggir projek RTB terbabit.

“Ini merupakan salah usaha MADA untuk mengurangk­an bebanan peladang yang terpaksa menjalanka­n proses tanaman padi semula,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Moreh MADA Bersama Media di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, Othman telah menyampaik­an sumbangan duit raya kepada anak yatim dan sumbangan Aidilfitri kepada kakitangan MADA.

Beliau berkata projek RTB ini akan memberi kesan positif dalam jangka masa panjang bagi kawasan yang terlibat namun perlaksana­an projek berskala besar ini memberi kesan jangka pendek seperti masalah tanaman padi rosak.

“Projek ini dapat menyelesai­kan masalah banjir di beberapa kawasan tanaman padi dan ia juga dapat mengalihka­n lebihan air terus ke laut tanpa menjejaska­n tanaman padi peladang.

“Jadi saya harap pihak terlibat dapat menyiapkan projek ini mengikut jadual yang telah ditetapkan kerana bimbang jika lewat ia akan memberi masalah kepada penduduk setempat di kawasan yang terlibat,” katanya.

Ismail Osman, 63, yang menanam padi hampir 51 tahun berkata dia gembira selepas menerima wang pampasan berjumlah RM1,250 kerana sedikit sebanyak dapat menampung semula kos penanaman padi yang terpaksa dilakukan sebanyak dua kali akibat banjir yang berlaku.

“Sebelum projek RTB ini, tanaman padi saya tidak pernah rosak akibat banjir tetapi saya harap apabila siapnya projek ini ia dapat memberi manfaat kepada semua peladang MADA,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia